FIFPro gesa waktu rehat Piala Dunia 2026 dipanjangkan

FIFPro gesa waktu rehat Piala Dunia 2026 dipanjangkan

Philadelphia: Kesatuan pemain bola sepak global, FIFPro menyeru waktu rehat separuh masa dipanjangkan pada Piala Dunia tahun depan bagi mengurangkan kesan cuaca panas melampau.

Menurut FIFPro, cabaran yang dihadapi pemain di Piala Dunia Kelab ketika ini seharusnya menjadi “isyarat amaran” buat FIFA.

Keadaan cuaca yang panas terik di kebanyakan kawasan di Amerika Syarikat menyukarkan pemain dalam kejohanan ini dan beberapa jurulatih pasukan yang bertanding turut mengadu tentang cabaran besar yang timbul akibat suhu tinggi.

Menjelang Piala Dunia 2026 yang berlangsung di seluruh Amerika Utara, satu kajian oleh FIFPro memberi amaran bahawa enam daripada 16 venue kejohanan itu berada dalam kategori risiko sangat tinggi terhadap kecederaan akibat tekanan haba termasuk Miami, yang turut menjadi salah satu bandar tuan rumah Piala Dunia Kelab.

“Kejohanan ini mungkin satu isyarat amaran sangat berguna untuk semua pihak mempertimbangkan semula jadual perlawanan dalam kejohanan-kejohanan akan datang,” kata Alexander Bielefeld, pengarah dasar dan hubungan strategik FIFPro.

Banyak perlawanan dalam Piala Dunia Kelab dimulakan pada waktu tengah hari atau jam 3 petang waktu tempatan. Pemain Atletico Madrid, Marcos Llorente, mengadu tentang keadaan “mustahil danpanas yang sangat teruk” selepas pasukannya tewas 0-4 kepada Paris Saint-Germain dalam cuaca membahang di Pasadena.

“Kami ada beberapa kejohanan akan datang yang perlu kami lihat dari sudut ini,” tambah Bielefeld, merujuk kepada kebimbangan terhadap Piala Dunia tahun depan serta kejohanan 2030 yang bakal berlangsung dalam cuaca panas musim panas di Sepanyol, Portugal dan Maghribi.

Setiausaha agung FIFPro, Alex Phillips, berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan FIFA, badan induk bola sepak dunia mengenai keperluan mengelak perlawanan dijadualkan pada waktu paling panas di sesetengah lokasi.

Namun beliau mengakui mereka tidak mempunyai kuasa mutlak sekiranya jika FIFA memilih untuk mengadakan perlawanan awal petang di Amerika Syarikat bagi memenuhi waktu siaran perdana di Eropah.

“Itulah yang berlaku dalam kejohanan ini. Kami membuat permohonan agar perlawanan tidak dimulakan pada waktu-waktu tertentu, tetapi kami tidak mempunyai kuasa veto,” kata Phillips.

“Berdasarkan pengalaman ini, mereka mungkin akan lebih fleksibel, tetapi kami tiada kuasa mutlak untuk memaksa apa-apa keputusan.

“Kami akan lakukan yang terbaik untuk mempengaruhi hasilnya, tetapi tanpa sebarang kuasa formal untuk memaksa perubahan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top