sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sangat gembira dan ia satu impian untuk saya.”
Itu kata penyerang warisan baharu skuad Harimau Malaya, Joao Figueiredo yang diumumkan sebagai pemain terbaik selepas membantu pasukan menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Figueiredo yang berdarah Brazil-Malaysia bukan saja meraih caps pertamanya, malah dia turut meledak gol sulungnya yang menjadi pencetus kepada aksi lebih menyengat skuad negara di babak kedua.
“Paling penting gol itu dapat memberi kita menang. Kita boleh tingkatkan lagi dan saya benar-benar gembira,” kata pemain kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir itu.
Dalam aksi itu, Figueiredo meledak gol pertama negara pada minit 49 yang kemudiannya mencetuskan rentak lebih garang pasukan.
Tiga gol lagi diraih menerusi Rodrigo Holgado, Dion Cools dan Corbin Ong.
“Saya harap saya dapat tingkatkan permainan saya dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Sejak saya datang ke sini semua menerima saya dengan baik. Sokongan penyokong lebih 60,000 cukup mengagumkan dan saya gembira bermain di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd