mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon, Raja Azmi Raja Sulaiman, 66, meminta sebuah syarikat pengeluar kasut agar bertanggunjawab dalam isu harta intelek apabila menggunakan logo Anak-Anak Sidek miliknya tanpa kebenaran.
Perkara ini disuarakan oleh Raja Azmi menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di Threads.
“Saya sebenarnya pencipta ataupun pengasas ataupun pemegang hak cipta komik Anak-Anak Sidek. Jadi bila pihak (jenama kasut) tiba-tiba guna logo itu tanpa izin saya, agak kurang bagus.
“Lagipun mereka kena fikirlah penat lelah saya untuk mencipta, untuk menghasilkan karya komik dan animasi Anak-Anak Sidek itu. Jangan main ambil saja logo.
“Tiba-tiba nak buat kasut, tak minta izin saya kan. Jadi saya harap kepada pihak itu, silalah hubungi saya untuk kita selesaikan perkara ini dan saya bagi masa dalam tujuh hari, insya-Allah,” katanya.
Menurutnya tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya syarikat terbabit memandang endah kenyataannya.
“Jikalau perkara ini terus tiada tindakan dari pihak itu, saya rasa terpaksa ambil tindakan undang-undang.
“Ia supaya perkara ini tidak berlanjutan. Mudah-mudahan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Logo animasi dan komik autobiografi Anak-Anak Sidek sememangnya mempunyai nostalgia tersendiri buat Raja Azmi dan sangat popular dikalangan kanak-kanak pada penghujung era 1990-an.
Ia didaftarkan atas nama JAS Sdn. Bhd. Animasi Anak-Anak Sidek menceritakan kisah benar zaman kanak-kanak jaguh badminton negara Datuk Misbun, Rashid, Datuk Razif, Datuk Jalani dan Rahman Sidek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




