syafil.syazwan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penerbit terkenal David Teo mengumumkan filem Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2) bakal ditayangkan di 14 negara termasuk Malaysia.
Negara lain yang turut berada dalam senarai tayangan adalah Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Vietnam, Laos, Filipina, Thailand, Kemboja, Turkiye, New Zealand, Rusia dan Myanmar.
“Impian sudah menjadi kenyataan. Hari ini saya nak umumkan filem ini akan ditayangkan di 14 negara. Di Malaysia, ia akan ditayangkan pada 21 November 2024, jadi di negara-negara luar rantau Asia mungkin seminggu atau sebulan kemudian.
“JPB pertama 17 tahun lalu ditayangkan di enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand. Kali ini, ia akan ditayangkan 14 negara yang mana, ada antaranya tak pernah tayang filem Melayu.
“Mereka tengok karya kita dan menunjukkan minat. Itu saya tak jangka. Maksudnya, filem kita dah boleh menjelajah sampai ke luar negara,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai sasaran kutipan untuk filem seram yang dilabel sebagai filem legenda itu, David berkata, dia mensasarkan angka RM30 juta.
“Kalau mengikut angka, filem pertama pada 2007 itu mencecah kutipan RM7.4 juta. Waktu itu harga tiket sekitar RM6 hingga RM8.
“Sekarang harga tiket secara puratanya lebih kurang RM20. Jadi, sasaran untuk kutipan lebih kurang RM30 juta dan ada potensi untuk mencapai kutipan itu. Saya percaya boleh sampai.
“Sekarang tentunya lebih ramai orang yang dilahirkan. Walaupun mereka tak tengok waktu itu, tapi mesti ada yang ulang tonton di YouTube,” katanya.
Filem JPB2 ditulis dan diarahkan oleh pengarah, Pierre Andre dan dibintangi barisan pelakon antaranya Emma Maembong, Khatijah Tan, Mawar Rashid, Iedil Dzuhrie Alaudin dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



