Suara kecil yang pernah merayu pertolongan di hujung talian kini diabadikan di layar perak menerusi filem The Voice of Hind Rajab, sebuah karya kemanusiaan yang merakam detik terakhir seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun di tengah kekejaman konflik Gaza.
Filem ini mengangkat kisah benar yang berlaku pada 29 Januari 2024, apabila Hind Rajab terperangkap di dalam sebuah kereta yang ditembusi tembakan, hanya ditemani suara petugas kecemasan Bulan Sabit Merah Palestin di hujung talian serta harapan yang semakin pudar.
Berbeza daripada filem konflik lain, karya terbitan Mime Films dan Tanit Films dengan Primeworks Studios sebagai pengedar rasmi itu tidak memaparkan keganasan secara visual.
Sebaliknya, ia berpaksikan rakaman panggilan kecemasan sebenar tanpa suntingan dan lakonan, menjadikan setiap detik yang diperdengarkan begitu jujur dan menghiris perasaan.
Sepanjang panggilan tersebut, Hind dengan suara yang kecil dan bergetar menceritakan keadaannya, siapa yang bersamanya serta kereta kebal yang semakin menghampiri. Suara itu sarat dengan ketakutan, namun masih mengharapkan bantuan.
Filem arahan pengarah Tunisia tersohor, Kaouther Ben Hania, ini dibintangi pelakon antarabangsa termasuk Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.
Menurut Kaouther, pengalaman mendengar suara Hind buat kali pertama meninggalkan kesan yang amat mendalam dan menjadi asas kepada pembikinan filem berkenaan.
“Mendengar suara seorang kanak-kanak menerangkan keadaan di sekelilingnya sambil menunggu bantuan yang tidak pasti adalah sesuatu yang sangat menghantui. Suara Hind itu tulen, benar dan penuh ketakutan. Dalam banyak hal, ia seolah-olah menjadi suara Gaza itu sendiri,” katanya.
The Voice of Hind Rajab menumpukan kepada tekanan emosi di hujung talian, ketidakberdayaan petugas kecemasan serta realiti pahit apabila masa dan jarak menjadikan pertolongan mustahil.

Filem ini mengajak penonton merasai apa yang tidak dapat dirakam kamera iaitu penantian, harapan dan ketakutan seorang anak kecil yang meminta tolong.
Pelakon utama, Motaz Malhees berharap karya ini mampu membuka mata dan hati penonton terhadap penderitaan kanak-kanak yang terperangkap dalam konflik.
“Saya berharap penonton pulang dengan satu persoalan dalam hati tentang apa yang boleh kita lakukan supaya tragedi seperti ini tidak berulang. Setiap kanak-kanak berhak untuk diselamatkan,” katanya.
Di peringkat antarabangsa, filem ini meraih pengiktirafan apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival serta tersenarai dalam Top 15 Filem Antarabangsa Terbaik di Academy Awards.
Ia turut mendapat sokongan penerbit eksekutif terkenal seperti Brad Pitt dan Joaquin Phoenix.
Di Malaysia, usaha mempromosikan filem ini disertai kempen Hind Rajab: Suara Terakhir menerusi kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai inisiatif kesedaran kemanusiaan.
Sebagai simbol solidariti, Media Prima turut menyumbangkan RM1 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
Disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris dengan sari kata Bahasa Malaysia, The Voice of Hind Rajab kini telah ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara pada 8 Januari 2026.




