Manila: Filipina membenarkan penggunaan secara sementara dan terhad bahan api yang lebih murah namun kurang bersih bagi memastikan bekalan mencukupi ketika negara itu mencari jalan menangani kesan krisis Timur Tengah.
Jabatan Tenaga (DOE) berkata, hanya kenderaan keluaran tahun 2015 dan ke bawah, ‘jeepney’ tradisional, loji janakuasa dan penjana, serta sektor maritim dan perkapalan dibenarkan menggunakan produk petroleum yang mematuhi piawaian Euro II.
“Langkah ini bertujuan membantu memastikan bekalan bahan api yang berterusan, mencukupi dan mudah diakses, sambil memberikan sedikit kelonggaran kepada sektor yang mungkin terjejas,” kata DOE dalam satu kenyataan.
Ia turut mengarahkan syarikat minyak yang menawarkan bahan api Euro II supaya memastikan pengasingan daripada bahan api Euro IV dalam aspek penyimpanan, pengangkutan dan sistem runcit.
Manila beralih kepada bahan api lebih bersih yang mematuhi piawaian Euro IV daripada Euro II pada 2016.
Bahan api Euro IV, yang masih digunakan, mempunyai kandungan sulfur sebanyak 50 bahagian per juta (ppm) berbanding 500 ppm bagi bahan api Euro II.
Minggu lalu, ribuan pemandu ‘jeepney’ turun ke jalan raya di seluruh negara bagi membantah kenaikan lebih dua kali ganda harga diesel tempatan susulan lonjakan harga minyak global akibat perang AS-Israel terhadap Iran.
Seperti banyak negara jiran di Asia Tenggara, Filipina telah mengambil langkah seperti memendekkan minggu kerja dan menyediakan subsidi bahan api bagi mengurangkan kesan peningkatan kos.
Kongres juga telah memberikan kuasa kecemasan kepada presiden untuk menggantung atau mengurangkan cukai bahan api.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dalam mesej video pada Ahad berkata, kerajaan sedang berbincang dengan India, China, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Brunei mengenai kemungkinan pengaturan bekalan bahan api.
Negara itu, yang banyak bergantung kepada minyak dari Timur Tengah untuk keperluan bahan apinya, dijangka mengimport minyak dari Rusia pada Mac buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




