MANILA: Filipina hari ini melarang jutaan kanak-kanak keluar rumah ketika hospital negara itu bersiap sedia menghadapi peningkatan kes COVID-19 akibat varian Delta.
Varian coronavirus yang sudah berleluasa di beberapa negara jiran sudah muncul di Filipina dan jumlahnya meningkat pantas.
Hampir separuh daripada 47 kes dari varian terbabit yang dikesan setakat ini membabitkan jangkitan tempatan, kata jabatan kesihatan, yang turut bimbang peningkatan mendadak jangkitan boleh melebihi 1.5 juta sejak bermulanya wabak.
Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque, menegaskan varian Delta cepat menular dan berpotensi tinggi mengakibatkan kematian.
Sehubungan itu , beliau mengumumkan peraturan lebih ketat bagi ibu kota negara itu dan empat wilayah yang merekodkan peningkatan kes.
Peraturan itu, antara lain, mengehadkan lagi kapasiti untuk makan di restoran, mengunjungi salun kecantikan dan perjumpaan keagamaan, sementara kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun diwajibkan kekal tinggal di rumah.
Ia diumumkan dua minggu selepas pemerintah menarik sekatan melarang kanak-kanak bawah umur keluar sejak Mac 2020, namun ia sering tidak dipatuhi.
Kumpulan penyelidikan bebas OCTA, yang menasihati pemerintah mengenai pandemik, semalam menggesa ‘pelaksanaan sekatan bersasar’ dan arahan tinggal di rumah bagi anak-anak.
Ranjit Rye dari OCTA, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya percaya lonjakan pada tahap awal sudah bermula di ibu kota Manila, yang berkemungkinan besar didorong varian Delta.
Jabatan kesihatan mengatakan pemeriksaan sedang dilakukan untuk memastikan hospital mempunyai katil, ubat, tangki oksigen dan kakitangan mencukupi untuk menangani kemungkinan peningkatan kes.
Berdasarkan rekod jangkitan awal tahun ini, peningkatan kes berupaya mengakibatkan kemudahan penjagaan kesihatan semakin sesak.
Musibah ini datang ketika Filipina berdepan cabaran untuk memberi vaksin kepada 110 juta penduduknya ekoran perolehan bekalan global yang ketat serta cabaran logistik.
Lebih lima juta orang diberi vaksin sepenuhnya sementara 10.5 juta lagi sudah mendapat suntikan pertama. – AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




