MANILA: Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) semalam rekodkan sebanyak 6,739 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 1,138,187 kes.
Jumlah kematian pula meningkat kepada 19,051 orang selepas 93 lagi pesakit meninggal dunia akibat pandemik itu.
Menurut DOH, seramai 1,062,427 orang pulih daripada penyakit itu, menjadikan jumlah kes aktif berbaki 56,709 orang.
Filipina, negara dengan sekitar 110 juta penduduk, sudah menjalankan saringan ke atas lebih 11.7 juta individu sejak wabak itu mula meletus pada Januari 2020.
Sementara itu, sepuluh kes baharu dikesan membabitkan varian COVID-19 dari India, menjadikan jumlah keseluruhan itu meningkat kepada 12 kes.
DOH menjelaskan, varian B.1.617 ditemui pada sampel diambil daripada kelasi yang tiba dari Belgium melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 24 April lalu dan selesai menjalani kuarantin pada 13 Mei lalu.
Tambah DOH, varian sama turut dikesan pada sampel diambil daripada sembilan anak kapal MV Athens Bridge, iaitu sebuah kapal dari India yang dikendalikan kru warga Filipina sepenuhnya.
“Kapal berkenaan meninggalkan India pada 22 April lalu dan kemudiannya berhenti di Malaysia sebelum sampai di Vietnam pada 1 Mei lalu, di mana ujian saringan mendapati 12 daripada 21 anak kapal positif COVID-19.
“Empat daripada sembilan kes B.1.617 mendapat rawatan di sebuah hospital di Manila dan berada dalam keadaan stabil sekarang, sementara lima lagi ketika ini ditempatkan di fasiliti kuarantin,” kata DOH.
Menurut DOH, sampel yang diambil daripada tiga anak kapal lain ‘tidak layak untuk penjujukan’. Bagaimanapun, ketiga-tiga anak kapal masih ditempatkan di kemudahan kuarantin.
Pada 11 Mei lalu, varian sama turut dikesan pada dua kelasi yang tiba dari Oman dan UAE, menjadikan Filipina ketika ini mempunyai empat varian SARS-CoV-2 yang mengakibatkan COVID-19.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan B.1.617 sebagai varian membimbangkan pada peringkat global, yang mana ia dikatakan mudah menyebarkan jangkitan.
Rentetan kebimbangan varian baharu, Filipina antara negara yang melarang ketibaan antarabangsa dari India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Oman dan UAE sehingga 31 Mei. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




