Final MPFL: Pahang Rangers tak gentar status Selangor FC

Final MPFL: Pahang Rangers tak gentar status Selangor FC

 

PAHANG Rangers FC tidak gentar berdepan dengan Selangor FC yang muncul sebagai pasukan pilihan menjelang aksi final pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini esok.

 

Sebaliknya pengendali Pahang Rangers FC, Eloy Alonso Fraile bertekad memberikan saingan sengit bagi memburu kejuaraan berkata, peluang beraksi di final merupakan pencapaian istimewa buat pasukan selepas berjaya membina kekuatan secara berperingkat dari aspek individu dan berpasukan.

 

Beliau mengakui Selangor FC memiliki rekod cemerlang sepanjang musim ini, namun kemenangan Pahang Rangers ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir menjadi suntikan semangat untuk mencabar keupayaan lawan pada final nanti.

 

“Kedua-dua pasukan sudah saling mengenali dengan baik. Dalam perlawanan akhir yang besar seperti ini, setiap gerakan dan setiap minit amat penting. Kita tidak boleh memberi mereka sebarang ruang dan perlu berjuang habis-habisan sepanjang perlawanan,” katanya semasa sidang media praperlawanan final MPFL 2026 di sini pada Jumaat.

 

Sementara itu, kapten Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris berkata, pasukan berada dalam momentum positif selepas menyingkirkan JDT pada separuh akhir dan bersedia memberikan aksi terbaik demi penyokong yang dijangka memenuhi stadium esok.

 

Beliau berkata, meskipun rekod pertemuan musim ini memihak kepada Selangor, Pahang Rangers tetap optimis mampu mencipta kejutan, selain berharap penyokong terus memberikan sokongan padu di laman sendiri.

 

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Ega Eder Baldasso pula enggan menjadikan rekod tanpa kalah skuad kendaliannya sepanjang MPFL 2026 sebagai ukuran kelebihan menjelang aksi final menentang Pahang Rangers.

 

Beliau berkata, rekod cemerlang itu tidak menjamin kemenangan pada perlawanan akhir kerana kedua-dua pasukan akan bermula dengan peluang seimbang, sekali gus menuntut persiapan rapi dari segi taktikal dan mental.

 

“Kami tidak mengharapkan satu perlawanan yang mudah kerana kami tahu betapa sukarnya untuk beraksi di sini. Apa yang penting ialah mempunyai mentaliti yang betul sejak awal perlawanan dan memahami kekuatan pasukan sendiri,”katanya.

 

Sementara itu, kapten Selangor FC, Khairul Effendy Bahrin berkata, beliau dan rakan sepasukan teruja untuk beraksi pada final MPFL musim ini dan tidak kekok beraksi di hadapan penyokong lawan.

 

Beliau berkata, Selangor akan memberikan aksi terbaik bagi memburu kejuaraan, meskipun mengakui Pahang mempunyai kualiti tersendiri yang mampu mencetuskan cabaran sengit dalam pertembungan dua pasukan itu.

 

Selepas aksi final pertama berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, perlawanan kedua akan berlangsung di gelanggang lawan pada 31 Oktober. – Bernama

 

Scroll to Top