mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) edisi ketiga berjumlah RM1.51 juta kepada 27 filem tempatan.
Pengerusinya Datuk Hans Isaac berkata, pemberian insentif ini berikutan pihaknya mendapati peningkatan dari segi kualiti filem tanah air dan sebagainya.
“Penilaian terhadap filem dibuat mengikut format. Kita ada ikut peratusan standard SOP daripada ITFC dulu sampai sekarang. Sebanyak 27 syarikat diberi ITFC dengan kewangan sebanyak RM1,509,659.32.
“Ini satu inisiatif daripada Kerajaan Madani dan Finas untuk membantu industri kreatif tanah air,” katanya pada sidang media selepas selesai penyerahan di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Finas Datin Rozita Waty Ridzuan.
Hans berkata, bukan semua negara-negara di seluruh dunia menyediakan insentif seumpama ini sekali gus penggiat industri kreatif Malaysia boleh dianggap bertuah.
“Negara-negara lain sampai kadang-kadang mereka cakap sangat cemburu dengan penggiat industri kita kerana kerajaan sangat menyokong.
“Bukan saya kata negara-negara lain tidak ada inisiatif sendiri, tetapi Malaysia ada banyak inisiatif dan bantuan dari segi kewangan untuk industri kreatif,” katanya.
Penyampaian ITFC kepada penerbit dibuat mengikut perkiraan bergantung kepada box office sesebuah filem.
Sehingga 25 Disember lalu, industri filem tempatan mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak RM221.6 juta hasil tayangan 71 filem cereka tempatan, di bawah pelaksanaan Skim Wajib Tayang.
Antara filem yang menerima insentif ialah filem Kulit Wayang, Impak Maksima, Telaga Suriram, Qifarah dan Tembuni Berdarah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




