mohamadridzuan@hmetro.com.my
Hulu Klang: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus memainkan peranan utama membantu semua penggiat seni termasuk golongan veteran.
FINAS menerusi kerjasama strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO dengan sokongan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) menggerakkan inisiatif caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, seramai 200 artis veteran tanah air diluluskan permohonan untuk menerima caruman ini.
“Ia antara langkah penting dalam memperkukuh perlindungan sosial penggiat seni. Melalui perbincangan yang diketuai Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, beberapa program kebajikan untuk artis veteran akan terus dipergiatkan.
“Kerjasama ini juga membolehkan penggiat seni menjadikan caruman berkenaan sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan dan kebajikan mereka.
“Ini satu inisiatif untuk bantu artis veteran, iaitu melalui caruman KWSP dan PERKESO. Di mana PERKESO, kita ada lebih kurang 200 ahli atau penggiat industri veteran ini yang mendapat caruman,” katanya pada majlis penyampaian sijil caruman PERKESO dan sijil keahlian KWSP kepada penggiat seni kreatif di kompleks FINAS di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Presiden GAFEMA, Pansha; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi; Presiden Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh serta wakil pengurusan tertinggi KWSP dan PERKESO.
Menurutnya, FINAS juga akan mengumumkan beberapa inisiatif untuk artis veteran seperti dana dan sebagainya selepas ini.
“Seperti pernah dimaklumkan, bagaimana kita boleh memberi peluang kepada penggiat industri berpengalaman luas ini.
“Untuk yang mempunyai pengalaman lebih 20 hingga 30 tahun, kami akan fikirkan cara untuk mereka dapat menyumbang dari segi menjadi tenaga pengajar di peringkat universiti,” katanya.
Azmir berkata, FINAS juga akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 penggiat industri yang masih belum mempunyai akaun.
“Kuota berkenaan dibuka sehingga September depan dengan keutamaan kepada penggiat yang belum pernah mendaftar.
“Untuk i-Saraan, masih lagi memerlukan lebih banyak promosi untuk mereka tahu apakah inisiatif ataupun kebaikan apabila membuka akaun berkenaan.
“Kita akan tetapkan melalui insentif seperti dana atau Insentif Filem di Malaysia (FIMI), di mana penerbit ataupun syarikat-syarikat yang menerima dana itu perlu mencarum ke atas semua kru yang terbabit dalam projek mereka, ” katanya.
Menurutnya, syarat itu terbuka sama ada mereka perlu membuka akaun i-Saraan KWSP ataupun mencarum beberapa peratus daripada hasil ataupun gaji yang sudah dipersetujui dalam kontrak.
“Kita juga akan pastikan melalui Akta FINAS baru nanti termasuk Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan lesen FINAS, semua penggiat industri perlu membuka akaun i-Saraan KWSP.
“Selain pelakon dan kru produksi, FINAS turut membantu penyanyi veteran dalam urusan ini,” katanya.
Seramai 20 artis veteran hadir menerima sijil caruman PERKESO, manakala 20 lagi penggiat industri kreatif menerima sijil pembukaan akaun i-Saraan KWSP bagi yang belum mempunyai akaun, sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan mereka dalam skim itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd