FINAS digesa serah cadangan benarkan syarikat penerbitan beroperasi Fasa 3 PPN

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Persatuan Pengarah Filem Malaysia turut meminta kru penerbitan dibenarkan merentas negeri melakukan penggambaran di negeri zon hijau selewat-lewatnya hujung bulan ini.

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) digesa mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan syarikat penerbitan filem dan program televisyen beroperasi pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) turut meminta FINAS mengemukakan cadangan kepada MKN dan Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat SOP, dengan membenarkan kru penerbitan merentas negeri melakukan penggambaran di negeri zon hijau seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dalam kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan kehidupan lebih 10,000 penggiat industri kreatif yang terjejas teruk ketika ini, kembali normal mempunyai pendapatan.

“Penggiat industri kreatif yang majoritinya karyawan bebas bukan sahaja tiada pendapatan lain, malah mereka juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun, tetapi diarah ke medan perang. Sepatutnya FINAS perlu memikirkan bagaimana dana yang ada dimanfaatkan ke arah lebih membantu mengisi perut kosong kami.”

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan vaksinasi untuk kira-kira 9,000 pekerja syarikat penerbitan dan program televisyen.

“FDAM mencadangkan program imunisasi untuk pekerja penerbitan dibuat dalam tiga fasa, iaitu fasa pertama pada bulan ini, fasa kedua pada Ogos dan fasa ketiga pada September bagi membolehkan mereka memulakan atau menyambung kerja penggambaran yang terhenti berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.”

Sejak PKP 1.0, katanya, banyak syarikat penerbitan tempatan gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos operasi serta kehilangan kontrak penerbitan.

Beliau mengingatkan FINAS supaya tidak mengutamakan festival filem semata-mata dalam situasi genting ini, sedangkan nasib pekerja seni terumbang-ambing tanpa bantuan.

“Seolah-olah kami bukan warganegara yang berjasa kepada negara. Apakah dalam situasi suram dan muram begini, FINAS lebih memikirkan untuk berpesta sahaja?

“FDAM tidak menafikan kepentingan festival sebagai usaha bagi merancakkan industri penerbitan filem, namun dalam situasi sekarang, festival filem hanyalah hiasan semata-mata, tanpa dapat dimanfaatkan penggiat industri.”