Finas serah RM613,702 untuk tujuh syarikat produksi

Finas serah RM613,702 untuk tujuh syarikat produksi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 berjumlah RM613,702 kepada sembilan filem tempatan melalui tujuh syarikat yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, penyerahan ITFC itu dibuat susulan kesemua filem berkenaan sudah pun selesai ditayangkan di pawagam menerusi Skim Wajib Tayang.

“Penyerahan insentif ini bertujuan menjadi dorongan kepada pembikin filem tempatan untuk terus menyumbang karya mereka kepada pembangunan industri kreatif negara.

“Menerusi program ITFC ini juga Finas memberikan kira-kira lima peratus insentif untuk mana-mana filem tempatan yang memasuki Skim Wajib Tayang berdasarkan kutipan tiket diraih di pawagam seluruh negara.

“Ini adalah inisiatif Finas supaya pihak produksi tempatan dapat menghasilkan filem yang seterusnya untuk menggalakkan penerbit menghasilkan karya ‘box office’ dengan kutipan lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kekangan yang terjadi sekarang adalah duti hiburan yang tinggi dan insentif ini juga untuk mengurangkan beban penerbit tempatan,” katanya.

Terdahulu, Azmir hadir pada Program Town Hall Industri Kreatif bagi menerangkan berkenaan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) serta Pemerkasaan Dasar Perfileman Negara (DFN) kepada khalayak sasar.

Program anjuran Finas itu disertai lebih 300 penggiat industri perfileman dan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac bersama Azmir bertindak sebagai panel bagi menekankan keperluan akta yang lebih inklusif dan selari perkembangan teknologi.

Tujuh syarikat produksi yang menerima agihan ITFC hari ini ialah MIG Pictures Sdn Bhd, Fiesk Sdn Bhd, Scifilm Sdn Bhd, Hug Pictures Sdn Bhd, Empire Film Solution Sdn Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Mangkin Prestif Sdn Bhd.

Sembilan filem yang layak menerima intensif berkenaan ialah Jangan Pandang Belakang: Aku Tahu Asal Usulmu, Takafur, This Land Of Mine, C 4 Cinta, Lubuk, Danum, Reeza, Papa dan Dajal : Satu Malam Dipedajal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top