Firasat kuat kata dia masih hidup, kalau sudah 'diambil' saya reda – Ibu nelayan hilang

Firasat kuat kata dia masih hidup, kalau sudah 'diambil' saya reda – Ibu nelayan hilang

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Kasut dipakai abang ipar (Mohd Fadzli) masih ada dalam bot dinaikinya. Namun, sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.”

Kata Mohamad Hairie Azami, 29, adik ipar kepada seorang daripada dua nelayan yang masih hilang di perairan Sungai Dulang, Rengit, berhampiran Jeti Sungai Tongkang, sejak Jumaat lalu.

Kehilangan Mohd Fadzli Mesran, 41, dan rakannya Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, disedari pagi Sabtu lalu selepas mereka keluar bersama jam 6 petang Jumaat untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti.

Kedua-dua mereka sepatutnya pulang ke rumah antara jam 9 hingga 10 malam hari sama namun usaha ahli keluarga menghubungi telefon bimbit Mohd Fadzli dan Mohd Saiful Azli tidak berhasil.

Menurut Mohd Hairie, sebaik diberitahu kehilangan abang iparnya, dia bersama komuniti nelayan tempatan menggerakkan usaha mencari di sekitar lokasi tempat mereka memasang bubu udang.

“Kami diberitahu, ada nelayan jumpa tong minyak enjin dan bekas menyimpan udang selain kasut dipakai abang ipar di dalam bot dinaikinya.

“Pelbagai usaha kami lakukan dengan harapan abang ipar ditemukan segera. Siapa tidak sedih bila melihat anak-anaknya yang masih kecil dan tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

“Seorang ayah keluar mencari sesuap nasi tetapi tidak pulang sehingga kini. Kudrat yang ada saya kerahkan sepenuhnya untuk mencarinya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, ibu kepada Saiful Azli, Khatijah Rahindi, 74, menaruh keyakinan anak sulung daripada tiga beradik itu masih hidup namun tidak dapat menentukan lokasi anaknya berada.

“Sebagai ibu, firasat itu (anak masih hidup) kuat. Saya hanya mampu berdoa dan berharap dimakbulkan, kami tidak terdaya dan hanya berserah pada Allah.

“Kalaulah dia sudah diambil (meninggal dunia), saya reda kerana semua itu sudah menjadi kehendak-Nya.

“Siang malam saya berdoa sejak kami dimaklumkan kehilangannya. Dia anak yang baik selalu mengusik adik beradik.

“Sehari sebelum kehilangannya, dia sedekahkan hasil tangkapan kepada saudara sedangkan sebelum ini, dia akan menjualnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top