sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Keinginan untuk ‘gantung kayu’ dengan pasukan negeri kelahiran menjadi faktor utama bekas pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), Firhan Ashari kembali menyarung jersi Pasukan Hoki Terengganu (THT) musim ini.
Bagaimanapun jelas pemain kelahiran Sungai Tong, Setiu itu, dia belum memikirkan bila akan bersara kerana masih sayang untuk meninggalkan sukan yang digemari sejak di bangku sekolah itu.
“Jika diikutkan masih ada lagi pasukan lain yang memerlukan khidmat saya dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini yang dijangka bakal berlangsung pada April ini.
“Tapi keinginan untuk menabur bakti dengan pasukan negeri kelahiran selain mahu mengakhiri karier sukan ini di Terengganu mendorong saya membuat pilihan untuk kembali menyarung jersi THT.
“Lagipun saya pernah bersama pasukan THT ini selama lima tahun sebelum ini iaitu bermula 2013 sebelum menyarung jersi kelab lain selepas itu,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Ketika ditanya tekadnya bersama skuad juara ‘treble’ musim lalu itu, penyerang berusia 33 tahun yang juga boleh beraksi di posisi pertahanan mahu membantu pasukannya mengekalkan tiga kejuaraan berkenaan.
“Atas kertas sudah pasti laluan berliku buat THT untuk mengekalkan tiga kejuaraan liga, Piala TNB dan Piala Sumbangsih kerana persiapan pasukan lain juga tidak kurang hebatnya terutama pencabar terkuat, TNB.
“Tapi dalam apa-apapun sukan termasuk hoki tiada yang mustahil, lagipun THT bawah kendalian jurulatih Mohd Harfizi Baharom ada kemampuannya tersendiri, saya yakin dengan adunan pemain berpengalaman dan muda, skuad THT mampu mengulangi pencapaian sebagaimana pada musim lalu,” kata Firhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




