Fitnah: Racun rosakkan hati, mundurkan umat

Fitnah: Racun rosakkan hati, mundurkan umat

UMAT Islam diwajibkan untuk menegakkan perbuatan yang adil dan makruf serta membasmi perbuatan yang jahat dan mungkar.

Justeru, amalan fitnah diharamkan oleh ALLAH SWT melalui kalam-NYA dalam al-Quran kerana perbuatan itu bertujuan untuk memburukkan, mematikan karakter dan menjatuhkan imej seseorang, menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam serta menjejaskan hubungan silaturahim sesama manusia.

Di Malaysia, amalan ini merebak dengan cepat di kalangan umat Islam kerana beberapa faktor termasuk nilai agama yang semakin terhakis dalam kalangan masyarakat dan sikap terlalu mengikut hawa nafsu untuk mengejar kejayaan, kekuasaan dan kebendaan di dalam hidup.

Fitnah juga berlaku apabila seseorang itu dihinggapi penyakit hati iaitu keinginan untuk membalas dendam yang berpunca daripada perasaan sakit hati, hasad dengki, irihati dan keinginan untuk merebut kedudukan, pangkat atau kekayaan seseorang.

SELIDIKILAH terlebih dahulu berita atau maklumat yang diterima melalui media sosial sebelum menyebarkan kepada orang lain. Foto Canva

SELIDIKILAH terlebih dahulu berita atau maklumat yang diterima melalui media sosial sebelum menyebarkan kepada orang lain. Foto Canva

Sesungguhnya Islam melarang perbuatan yang boleh memudaratkan dan menyakitkan orang lain secara fizikal dan mental.

Impak besar

Impak kejahatan yang dibawa oleh fitnah ini amat besar. Perlanggaran prinsip ini akan mengakibatkan keadaan huru-hara berlaku di dalam sesebuah keluarga, organisasi dan masyarakat.

Sejarah membuktikan bahawa perpecahan yang berlaku akibat fitnah itu akan merugikan dan memundurkan umat Islam.

Oleh sebab itulah amalan fitnah ini merupakan dosa besar dan dosanya lebih dahsyat daripada membunuh sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-191 dan 217 surah al-Baqarah: ”Fitnah itu lebih berat/besar daripada pembunuhan.” 

Cara fitnah disampaikan tidak terlalu banyak bezanya antara zaman dahulu dan sekarang.

Dahulu fitnah disebarkan secara lisan iaitu komunikasi antara seseorang pembawa fitnah dengan orang lain manakala pada zaman ini penyebaran fitnah kebanyakannya disampaikan melalui media iaitu terutamanya media sosial yang lebih pantas dan lebih jauh cakupannya.

Penyebar fitnah golongan fasik, munafik

Jika dirujuk kepada sirah, fitnah di zaman Rasulullah SAW banyak disebarkan terutama oleh golongan fasik dan munafik sehingga umat Islam diperintah untuk menyelidiki kebenaran sesuatu perkhabaran yang mereka terima.

Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulum al-Din menyatakan bahawa penyebar fitnah merupakan seorang yang fasik kerana dia berniat jahat terhadap orang yang difitnah itu.

FITNAH dan berita palsu yang disebarkan menjadi racun yang merosakkan umat sekali gus memundurkan mereka. Foto Canva

FITNAH dan berita palsu yang disebarkan menjadi racun yang merosakkan umat sekali gus memundurkan mereka. Foto Canva

ALLAH SWT berfirman di dalam ayat keenam surah al-Hujurat: “Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa khabar angin, hendaklah kamu selidiki dahulu kebenarannya supaya jangan kamu mencelakakan sesuatu kaum tanpa diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu.”

Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani mentafsirkan ayat ini dan menyatakan bahawa ALLAH SWT telah memberi peringatan kepada umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah untuk mempercayai sebarang berita yang sampai kepada mereka kerana ditakuti berita itu tidak benar.

Al-Razi selanjutnya menegaskan bahawa umat Islam mesti meneliti dahulu berita yang dibawa oleh orang fasik dan tidak mudah mempercayainya kerana mereka sebenarnya bertujuan untuk menabur fitnah, memecahbelahkan umat Islam, melemahkan dan seterusnya menjatuhkan Islam.

Oleh itu, penulis menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya menjauhi diri daripada amalan fitnah ini demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan ummah.

***DR. SHAH RUL ANUAR NORDIN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum daKokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. 

Scroll to Top