Fitri Haris timang bayi perempuan pada hari lahirnya di UK

Fitri Haris timang bayi perempuan pada hari lahirnya di UK

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr Fitri Haris melahirkan kesyukuran apabila menyambut kelahiran cahaya mata keempat, seorang bayi perempuan pada tarikh yang cukup istimewa, iaitu hari lahirnya sendiri, 5 Jun lalu.

Fitri yang juga Pensyarah Kanan School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia berkata, bayi comel seberat 2.69 kilogram itu selamat dilahirkan pada jam 4.40 petang waktu United Kingdom (11.40 malam waktu Malaysia) di Royal Derby Hospital, Derby, United Kingdom (UK).

“Isteri saya El (Fazilah Omar) terpaksa menjalani pembedahan (C-Section) disebabkan komplikasi asma teruk serta masalah tekanan darah yang menurun secara mendadak.

“Dia kini stabil selepas prosedur pembedahan dan diberikan bius separa (spinal anesthesia). Ia adalah pembedahan ketiga yang El lalui dan doktor menasihatkan dia agar tidak hamil lagi kerana risikonya tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia bersyukur atas kelahiran puteri terbaru ini dan sedang mencari nama yang sesuai.

“Nama sudah ada, namun masih belum dimuktamadkan. Saya turut menitipkan doa agar anak perempuan saya menjadi seorang Srikandi Islam yang hebat.

“Anak saya adalah warga negara Malaysia. Proses pendaftaran kelahiran akan dilakukan terlebih dahulu di UK, sebelum mendaftar di Kedutaan Malaysia di London, memandangkan bayi dilahirkan di luar negara.

“Alhamdulillah… ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top