Fizi Ali Syukur, Kes Hadanah Babitkan Anak Akhirnya Selesai

Fizi Ali Syukur, Kes Hadanah Babitkan Anak Akhirnya Selesai

Penyampai radio, Fizi Ali memaklumkan kes hadanah babitkan anak perempuannya bersama aktres, Shakila Khoriri iaitu Ameena Sofea telahpun selesai.

Katanya, dia bersyukur kerana kes ini telahpun selesai dengan cepat selepas kedua belah pihak bersetuju dengan syarat-syarat yang telah diberikan.

“Syukur alhamdulillah..kes hadhanah untuk Ameena dah selesai.

“Selepas kedua dua pihak bersetuju dengan syarat-syarat yang telah diberi.

“Terima kasih untuk peguam kes kami puan Husniah Husin dan pembantu @maisymustapa bersusah payah untuk selesaikan kes kami. Alhamdulillah dengan bantuan puan Husniah Husin kes hadhanah boleh selesai secepat ini. Semoga yang baik-baik di masa hadapan untuk kita semua,” katanya.

Perkara itu dikongsi Fizi menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.

Sebelum ini, Fizi menegaskan tidak timbul isu merebut hak jagaan anak antara dia dan bekas isteri iaitu pelakon Shakilla Khoriri.

Sebaliknya, dia hanya mahukan anaknya,  Ameena Sofea mendapat kasih sebaiknya meskipun sudah berpisah dengan Shakilla.

“Sekali lagi saya nak tekankan, saya bukan merebut hak jagaan. Cuma hak melawat, bermalam dan hak untuk Ameena mendapat kasih sayang sama rata,” ulasnya.

Terdahulu, pada 15 Disember tahun lalu, Fizi memfailkan tuntutan hadanah terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan Ameena yang kini berusia 5 tahun.

Untuk rekod, Shakilla dan Fizi Ali pernah berkahwin pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan perceraian mereka pada Disember 2021.

Scroll to Top