Fizie Roslan Nafi ‘Perang Dingin’ Dengan Dr Afif, Tegas Hubungan Masih Baik

Fizie Roslan Nafi ‘Perang Dingin’ Dengan Dr Afif, Tegas Hubungan Masih Baik

Pengacara dan penyampai radio, Fizie Roslan menafikan dia berbalah dengan doktor dan usahawan Dr Afif Mohd Ridzwan.

Merupakan duta kepada produk EnerVast yang diasaskan oleh Dr Afif, Fizie didakwa berselisih faham dengan usahawan itu selepas kedua-duanya tidak lagi mengadakan sesi siaran langsung bersama di media sosial seperti ketika awal pelancaran produk pada Julai lalu.

Tenang menjawab spekulasi yang bertebaran, hos Anugerah Juara Lagu 31 itu menepis dakwaan kononnya hubungan mereka keruh.

“Ya, kami dah lama tak buat live bersama, tapi tiada masalah pun. Kami baik seperti biasa, cuma masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri,” katanya.

Menurut Fizie, kejayaan produk tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada selebriti yang menjadi duta.

“Peranan artis cuma sebahagian daripada strategi pemasaran. Pemilik jenama juga perlu jaga kualiti dan teruskan usaha untuk kekal relevan,” ujarnya.

Dalam pada itu; Dr Afif pula menafikan khabar angin yang mendakwa syarikatnya rugi besar selepas melantik Fizie sebagai duta.

“Kami jarang berhubung, tapi bukan sebab bergaduh. Tuduhan kononnya saya rugi ratusan ribu kerana lantik Fizie memang tidak benar. Kami bekerjasama dengan baik sejak awal,” katanya.

Tambahnya, walaupun tiada lagi sesi live bersama, Fizie masih memberi komitmen dan memainkan peranan penting dalam strategi promosi di belakang tabir.

“Hubungan kami baik. Mungkin ada pihak cuba timbulkan salah faham, tapi kami tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya lagi.

Menariknya, dakwaan mereka sudah tidak sehaluan terbukti tidak benar apabila kedua-duanya bakal bekerjasama membuka cawangan baharu Restoran Bumbu Babah di Kota Bharu, Kelantan, sebuah jenama makanan Minang yang diasaskan pelawak Ajak Shiro.

Fizie berkata minatnya terhadap masakan Padang mendorong dia menyertai projek itu.

“Saya memang suka masakan Padang sejak dulu. Bila Ajak ajak saya cuba nasi padang di Bumbu Babah, terus jatuh hati.

“Saya kongsi dengan Dr Afif dan kami nampak potensi besar. Dari situ, terus sepakat untuk kembangkan jenama ini bersama,” katanya.

Scroll to Top