Kuala Lumpur: “Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM.” demikian kata penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz.
Fizz atau pemilik nama sebenar Fairuz Zainal Abidin, 45, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengurusan stesen radio berkenaan.
“Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, minta maaf atas setiap silap dan salah saya selama saya di sini, saya pula seorang yang terlalu sempurna mungkin ada orang sukar ikut dan sebaliknya,” katanya ketika bersiaran.
Fizz yang juga pelakon, penerbit dan ahli perniagaan mengakui kerjaya sebagai penyampai radio adalah salah satu impian yang diinginkan sejak dulu.
Malah dia berterima kasih kerana memberi peluang dan ruang untuknya memenuhi impian itu.
“Saya sudah jadi pengarah, pelakon dan kini di radio. Saya jadi penyampai radio ini pun saya minat termasuk suka melakukan drama radio.
“Akhirnya tercapailah impian saya untuk jadi penyampai radio.
“Terima kasih juga sebab beri peluang untuk saya merasa dan realisasikan impian untuk menjadi penyampai radio.” katanya sebak.
Untuk rekod Fizz bersiaran di stesen radio berkenaan selama kira-kira setahun enam bulan.
Difahamkan keputusan Fizz tidak meneruskan kontrak disebabkan mahu memberi tumpuan keluarga.
“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh satu tahun enam bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk.
“Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem” kata Fizz yang awalnya hanya mengikat kontrak satu tahun bersama stesen itu.
Sementara itu, menerusi perkongsian InstaStory, isterinya, Almy Nadia mendoakan yang terbaik buat Fizz.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik, ditemukan dengan orang yang baik, dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah. ‘Love you sayang, i always love you’ (Sayang awak, saya sentiasa mencintai awak). Mama sentiasa ada dengan sayang,” tulisnya.
Fizz dan Almy yang juga pelakon berkahwin pada April 2014 dan dikurniakan lima anak termasuk seorang anak angkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd