KANGAR: Festival Kraf Utara (FKU) 2025 yang membuka tirai sejak 24 Julai lalu memberi fokus terhadap aspek padanan perniagaan dalam usaha memperluaskan lagi pasaran produk kraf baharu beridentitikan negeri.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, menerusi FKU 2025, terdapat beberapa sesi pertemuan telah diatur melibatkan usahawan kraf bersama pembeli-pembeli berpotensi dari dalam mahu pun luar negara.
Menurut beliau, sasaran pembeli hasil kraf berkenaan adalah melibatkan beberapa sektor antaranya seperti perhotelan, agensi kerajaan atau swasta, pusat beli belah dan pusat pelancongan.
“Kita mahu bangunkan industri kraf ini melalui aktiviti padanan perniagaan dengan mensasarkan pertemuan dengan pihak berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk pembeli dari Selatan Thailand.
“FKU 2025 juga memberi fokus kepada sektor perhotelan di mana kita cuba perluaskan produk-produk kraf baharu yang beridentitikan negeri ini, contohnya dengan menampilkan olahan reka corak dan motif Perlis seperti set cadar, alas meja, alas kusyen, hiasan dinding dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke FKU 2025 di Kraftangan cawangan Perlis di sini Jumaat lalu.
Berangkat mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama menyambut ketibaan baginda ialah Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli.
Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan melawat reruai jualan produk kraf dan pameran produk kraf baharu beridentitikan negeri ini.
Baginda turut berkenan meluangkan masa menyaksikan demostrasi pembuatan Tembikar Tradisional Perlis (Kechor) yang merupakan salah satu seni kraf tradisional berasal dari Perlis.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, FKU 2025 turut mendapat sambutan memberangsangkan malah nilai jualan juga dijangka melebihi sasaran ditetapkan.
“Kehadiran pengunjung sememangnya menggalakkan sejak hari pertama dan kita menjangkakan nilai jualan juga melebihi RM1 juta.
“FKU 2025 sememangnya platform terbaik buat usahawan kraf mempromosikan dan mengkormesialkan produk mereka secara meluas khususnya kepada masyarakat tempatan serta pelancong luar,” katanya. – UTUSAN.