Flashmob protes kerajaan hambar, cuma dihadiri sembilan orang – Utusan Digital

IPOH: Flashmob ‘buka Parlimen, tekan hon’ sebagai protes terhadap kerajaan yang dianjurkan sekumpulan individu digelar Anak Muda Perak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah di sini tidak mendapat sambutan apabila hanya disertai sembilan individu.

Kumpulan berkenaan mula berkumpul pada pukul 4 petang dengan memegang kertas bertulis ‘PM letak jawatan’, ‘#kerajaan gagal’, ‘buka Parlimen, tekan hon tanda setuju’ dan ‘lawan tetap lawan’ serta mengibarkan plastik hitam.

Anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berada di lokasi bagi memantau keadaan.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Steven Tiw Tee Siang berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai tanda protes kepada kegagalan kerajaan menangani Covid-19 meskipun telah melaksanakan darurat bagi membendung wabak berkenaan.

Katanya, kerajaan juga dilihat gagal apabila tidak membenarkan wakil rakyat pembangkang dan Bebas memasuki bangunan Parlimen hari ini.

“Ini (perhimpunan) berlaku disebabkan kerajaan memang gagal. Kita boleh lihat walaupun darurat telah dilakukan, kes jangkitan Covid-19 terus meningkat. Apa sebenarnya kerajaan telah lakukan?

“Kerajaan juga gagal kerana wakil rakyat yang ingin membawa suara rakyat di Parlimen pun tidak dibenarkan masuk. Ini adalah kerajaan yang benar-benar menindas wakil rakyat dan suara rakyat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga digesa meletak jawatan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kerajaan PN telah derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri perlu meletak jawatan serta-merta hari ini,” katanya.