Flick perlu berbincang dengan keluarga mengenai kontrak lanjutan

Flick perlu berbincang dengan keluarga mengenai kontrak lanjutan

Barcelona: Hansi Flick mengakui belum mengetahui sama ada akan melanjutkan kontraknya bersama Barcelona, namun yakin mengendalikan gergasi Catalan itu akan menjadi tugas terakhirnya dalam dunia bola sepak.

Presiden Barcelona yang baru dipilih semula, Joan Laporta sebelum ini berkata, beliau merancang untuk melanjutkan kontrak jurulatih berusia 61 tahun yang juga bekas pengendali Jerman dan Bayern Munich itu selama setahun lagi sehingga 2027.

Bagaimanapun, Flick berkata, walaupun beliau menikmati kehidupannya bersama juara Sepanyol itu, beliau perlu berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk terus kekal.

“Ini bukan masa yang sesuai (untuk itu), esok adalah perlawanan yang sangat penting buat kami, untuk kelab dan masa depan,” kata Flick kepada wartawan menjelang aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Newcastle United pada awal pagi Khamis.

“Semua orang tahu saya sangat gembira di sini. Saya perlu berbincang dengan keluarga saya dahulu. Kami ada masa untuk bercakap mengenai perkara itu tetapi buat masa ini, ini bukan masa yang sesuai.”

Flick membawa Barcelona meraih tiga kejuaraan domestik serta mara ke separuh akhir UCL musim lalu dengan mempamerkan corak permainan menyerang yang digemari penyokong kelab itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang fikiran untuk ke tempat lain atau perkara seperti itu. Tidak. Saya di sini, ini akan menjadi kelab terakhir saya, tugas terakhir saya di sini dan saya sangat gembira dengan perkara itu,” tambahnya.

Barcelona seri 1-1 di Newcastle dalam perlawanan pertama minggu lalu, aksi yang menyaksikan mereka banyak dikuasai pihak lawan.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok. Mereka pasukan yang fizikal, agresif dalam kawalan satu lawan satu dan pantas ketika melakukan transisi,” kata Flick.

“Kami perlu bermain dengan permainan terbaik kami esok dan itu yang akan kami cuba lakukan.”

Pemain pertahanan Barcelona, Pau Cubarsi percaya pasukannya mampu menampilkan aksi yang jauh lebih baik di laman sendiri.

“Intensiti yang mereka tunjukkan di stadium mereka memang luar biasa. Kami pernah bermain di sana pada fasa liga,” kata pertahanan tengah berusia 19 tahun itu.

“Kami mempunyai organisasi pertahanan yang baik, tetapi kurang kelancaran dalam serangan. Ia akan berbeza kali ini. Kami bermain di laman sendiri dengan sokongan penyokong.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top