Flotila dijangka masuk Zon Merah 3, jam 9 malam ini waktu Malaysia – Fahmi

Flotila dijangka masuk Zon Merah 3, jam 9 malam ini waktu Malaysia – Fahmi

mahani@bh.com.my

Putrajaya: Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan bantuan sewajarnya kepada keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selain memastikan sokongan disalurkan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat The Command Centre semalam.

“Beberapa bentuk bantuan akan diuruskan untuk keluarga 34 peserta, dan sekiranya apa-apa berlaku kepada mereka yang berada dalam misi terbabit, kerajaan akan segera memberi bantuan sewajarnya.

“Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah memaklumkan mengenai sumbangan untuk keluarga peserta di tanah air,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Fahmi berkata, kerajaan juga dimaklumkan mengenai keberangkatan kumpulan ketiga pasukan dari Malaysia yang bergerak dari Greece menuju ke Gaza untuk menyertai flotila berkenaan, sekali gus menjadikan jumlah peserta rakyat Malaysia semakin bertambah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan menerima laporan daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengenai cubaan sebuah kapal yang dipercayai milik rejim Zionis Israel menghampiri flotila pada jam 8.45 pagi waktu Malaysia.

“Ketika itu, flotila masih berada di perairan antarabangsa dalam kawasan dikenali sebagai Zon Kuning.

“Kehadiran kapal berkenaan membimbangkan, apatah lagi turut dikesan lebih 10 unit dron di ruang udara.

“Namun, setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal dan seluruh delegasi berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk persediaan sekiranya bot mereka dipintas atau terputus hubungan,” katanya.

Fahmi berkata, flotila dijangka memasuki Zon Merah R3 kira-kira 100 batu nautika dari Gaza pada jam 9 malam waktu Malaysia.

“Siarkan secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di atas kapal telah mula dipancarkan untuk tontonan dunia.

“Kita berdoa agar misi GSF ini berjaya dan semua peserta sentiasa selamat.

“Kita juga perlu terus membantu membina naratif bagi menyokong perdamaian di Gaza serta kejayaan misi ini,” katanya.

Berhubung Pelan Damai baharu yang ditaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Fahmi menjelaskan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dan ia ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top