
Jaringan Hercules bawa Fluminense ke separuh akhir Piala Dunia Kelab. Foto Agensi
GERGASI Brazil, Fluminense menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia Kelab selepas menundukkan kelab Arab Saudi, Al-Hilal, 2-1 dalam pertembungan sengit di Stadium Camping World, Orlando, Florida.
Kemenangan ini menyaksikan Fluminense akan berdepan sama ada Chelsea atau Palmeiras di New Jersey pada Rabu depan.
Di hadapan 43,091 penonton yang membanjiri stadium, Fluminense memecah kebuntuan hasil sentuhan magis Matheus Martinelli minit ke-40.
Menerima hantaran daripada Gabriel Fuentes, Martinelli melepaskan rembatan kencang yang menerjah ke penjuru atas gawang, sekali gus meletakkan pasukannya di depan.
Al-Hilal hampir menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Samuel Xavier tidak sengaja mengasari Marcos Leonardo.
Meskipun begitu, Al-Hilal tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Marcos Leonardo, yang memanfaatkan tandukan Kalidou Koulibaly sebelum meledak dari jarak dekat.
Gol tersebut merupakan gol keempat Leonardo dalam kejohanan ini.
Fluminense bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali di depan.
Xavier sekali lagi terlibat dalam jaringan apabila tandukannya disudahkan dengan tenang oleh pemain gantian Hercules, yang melorongkan bola ke sudut bawah gawang Al-Hilal untuk gol kemenangan.
Pada saat-saat akhir perlawanan, Al-Hilal melancarkan asakan bertali arus dalam usaha mencari gol penyamaan bagi memaksa masa tambahan.
Namun pertahanan Fluminense kekal kental menafikan setiap percubaan, memastikan kemenangan berharga buat pasukan Brazil itu.