FMT, Mart Expo martabat karya seni tempatan di peringkat global

PETALING JAYA: Sebahagian besar karya seni artis tempatan bakal mendapat pendedahan secara meluas di peringkat global menerusi kerjasama antara Free Malaysia Today (FMT) dan Mart Expo Globe Sdn Bhd.

Lebih 500 lukisan, kaligrafi dan pelbagai bentuk karya seni lain, secara fizikal dan dalam talian akan dipamerkan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Lebih menarik, karya yang dipamerkan itu juga turut ditempa dalam bentuk ‘token tidak sepiawai’ atau non-fungible token (NFT) bagi tujuan pemasaran digital secara global.

Acara penuh berprestij itu dilancarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan diiringi ketua setiausaha baharu kementerian itu, Saraya Arbi.

Turut hadir, duta serta diplomat dari beberapa negara lain seperti Argentina, Azerbaijan, Belgium, Croatia, Cuba, Belanda, Namibia, Senegal, Kuwait, Iran, Ghana dan Tajikistan.

Acara berkenaan turut menyaksikan pelancaran program FMT Accelerator, bertujuan untuk melabur dalam syarikat pemula atau artis yang berpotensi besar di rantau ini.

Pengasas Mart Expo, Mohsen Golshiri menyifatkan FMT Accelerator menawarkan peluang menarik kepada penggiat industri seni dan negara.

“Artis memainkan peranan penting dalam masyarakat dan disebabkan itu, kaedah terbaik untuk mengukur kejayaan sesebuah tamadun adalah dengan melihat layanan terhadap mereka.

“Di Mart Expo, kami mengenal pasti dan mempromosikan artis terpilih daripada pelbagai latar belakang serta budaya. Kami komited menjadikanseni boleh diakses oleh semua menerusi pembabitan ribuan artis di platform kami dengan pelbagai jenis karya seni dan pilihan harga,” katanya.

Sementara itu, Nancy memuji inisiatif itu sebagai cara terbaik mempromosikan pelancongan melalui seni sekali gus menjadi platform penting bagi artis meneruskan kerjaya mereka.

“Kementerian mengalu-alukan inisiatif untuk mempromosikan pelancongan menerusi seni bagi mengembangkannya dengan lebih besar sehingga ke tahap global sebagai pasaran eksport.

“Kementerian juga berminat untuk melihat bagaimana teknologi baharu seperti NFT boleh digunakan untuk membuka kunci potensi industri seni,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Baka meluahkan rasa terujanya dengan prospek yang tersedia menerusi kerjasama antara Mart Expo dengan artis di seluruh dunia yang membolehkan penggiat seni menempa karya mereka sebagai NFT.

Beliau berkata, menyediakan peluang kepada artis untuk membabitkan diri dalam pasaran yang belum pernah dicapai, serta merintis penciptaan projek NFT, adalah sesuatu yang selalu ingin dilakukan syarikat itu.

“FMT sebagai sebuah perniagaan berlandaskan web mengiktiraf integrasi berterusan teknologi, terutama kemunculan NFT berasaskan seni.

“Sebagai sebuah portal berita bahasa Inggeris terbesar di Malaysia, kami komited membawa nilai tambah kepada komuniti yang menakjubkan ini.

“Kami sedar, banyak pasaran berkaitan teknologi sedang mengalami sedikit ketidaktentuan pada masa ini, dan kami yakin dengan teknologi dan NFT, ia akan terus menawarkan impak positif kepada artis di seluruh dunia,” katanya.

FMT dan Mart Expo menjemput rakyat Malaysia untuk menyertai mereka dalam pengembaraan hebat ini dengan merebut peluang meluangkan masa bertemu artis, menghayati karya seni dan mempelajari lebih lanjut mengenai dunia seni serta NFT.

Anda hanya perlu berkunjung ke Instagram Mart Expo Globe dan berikan ulasan pada siaran ‘Kempen Seni & Masyarakat’ untuk berhubung dengan artis dan peminat seni dari seluruh dunia.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program FMT Accelerator, layari www.freemalaysiatoday.com/accelerator.

© New Straits Times Press (M) Bhd