Fokus Bangladesh dulu, Indonesia kemudian

PETALING JAYA: Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu Harimau Malaya memberi fokus sepenuhnya kepada Bangladesh sebelum memikirkan cabaran Indonesia dalam aksi pembukaan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.

Cheng Hoe berkata, kesemua 23 pemain yang dibawa ke Jakarta berada dalam keadaan bersedia, namun mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah Bangladesh kerana aksi pertama kejohanan sentiasa menghadirkan cabaran tersendiri.

Bekas pengendali Kedah dan Selangor itu turut menyambut positif sasaran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan yang mahu Harimau Malaya mara ke final, namun menegaskan fokus terdekat adalah mendapatkan keputusan positif dalam aksi pembukaan.

“Semua pemain bersedia untuk perlawanan esok (hari ini). Kami ada 23 pemain dan kami kena hormati Bangladesh. Kami tahu aksi pertama sentiasa sukar.

“Sudah tentu itu adalah satu cabaran (mara ke final) daripada presiden baharu FAM. Dalam masa sama, kami perlu fokus kepada aksi pertama.

“Pemain-pemain juga sangat teruja untuk menyertai kejohanan pertama anjuran FIFA ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan menentang Bangladesh yang berlangsung di Jakarta, semalam.

Cheng Hoe menegaskan setiap mata amat penting buat Harimau Malaya dan keputusan positif perlu diraih terlebih dahulu sebelum mereka mengalihkan perhatian kepada perlawanan menentang Indonesia.

“Setiap mata sangat penting dan kami perlu mendapatkan keputusan positif berdepan Bangladesh. Fokus kami adalah untuk perlawanan esok dan tengok apa keputusan sebelum fikir tentang perlawanan menentang Indonesia,” katanya.

Malaysia akan kembali beraksi di Stadium Gelora Bung Karno menentang Indonesia pada Isnin ini, sebelum menutup saingan kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, pada 1 Oktober.

Cheng Hoe mengakui Indonesia merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan berkenaan, namun menegaskan Harimau Malaya sudah bersedia menghadapi cabaran itu selepas menyelesaikan tugasan menentang Bangladesh.

“Sudah tentu pasukan pilihan adalah Indonesia. Kami juga sudah sedia untuk aksi menentang Indonesia,” ujarnya.

Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan, dengan juara Kumpulan A dan B akan bertemu pada aksi final di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, manakala naib juara kedua-dua kumpulan berentap dalam penentuan tempat ketiga di venue sama pada tarikh berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top