Fokus bina bandar selesai isu rakyat

Fokus bina bandar selesai isu rakyat

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Selangor tidak memerlukan ratusan bangunan pencakar langit untuk menjadi negeri bertaraf dunia, sebaliknya projek pembangunan berimpak tinggi yang menawarkan penyelesaian sebenar terhadap cabaran semasa bersifat inklusif dan lestari.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ts Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, kejayaan pembangunan bandar bukan terletak pada saiz atau rupa bangunan, tetapi kepada kemampuan menyelesaikan isu sebenar masyarakat seperti diperkatakan arkitek ikonik Norman Foster.

Menurut Dr Mohd Zairul, sesuatu projek dianggap berjaya apabila dapat mencipta kesan berganda kepada persekitaran, komuniti dan juga ekonomi.

“Contohnya, pembangunan berimpak tinggi dan inklusif akan membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan Selangor sebuah bandar global mampan, berdaya saing dan kalis masa depan.

“Projek seumpama ini perlu dirangka sebagai pusat pembangunan pelbagai guna yang mengintegrasikan elemen sukan, rekreasi, pengurusan bencana dan penjanaan ekonomi setempat.

“Keunikan pendekatan ini akan meletakkan Selangor di landasan tepat dalam menyelesaikan pelbagai isu bandar secara serentak seperti elemen mitigasi banjir, penggunaan landskap serapan air serta reka bentuk mesra komuniti yang membuka ruang untuk interaksi sosial dan aktiviti riadah selain integrasi hab pengangkutan sebagai antara solusi kesesakan trafik,” katanya.

Ini menurutnya, selari dengan prinsip pembangunan berorientasikan manusia seperti yang sering ditegaskan pakar bandar terkenal, Jan Gehl iaitu bandar yang baik ialah bandar yang direka untuk manusia terlebih dahulu.

“Usaha seperti ini bukan asing dalam dunia perancangan bandar.

“Barcelona (Sepanyol), misalnya berjaya menukar projek Sukan Olimpik 1992 menjadi pemangkin kepada pembangunan semula kawasan bandar lama, menjadikannya destinasi pelancongan dan ekonomi kreatif dikenali di seluruh dunia.

“Jika Barcelona boleh menjadikan sukan sebagai pemacu perubahan bandar, Selangor juga mampu dengan syarat projek pembangunan berimpak tinggi seumpama ini dilaksanakan dengan visi yang jelas, profesional dan berfokus kepada rakyat,” katanya.

Di samping itu, katanya, Selangor memerlukan projek pembangunan berimpak tinggi seumpama ini sebagai pusat tarikan baharu yang mampu menyumbang kepada ekonomi pelancongan dan sukan yang menarik pelaburan melalui penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

“Ia menjadi tempat pembangunan sosial kerana menyediakan ruang awam yang inklusif dan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top