Fokus kuatkan parti walau menang 1 undi

Fokus kuatkan parti walau menang 1 undi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menang dengan majoriti hanya satu undi bukanlah satu pencapaian yang diinginkan, namun tanggungjawab selepas dipilih perwakilan akan dipikul sebaiknya.

Itu tekad Ketua Umno Bahagian Sik yang baru, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim, 45, yang berbeza satu undi dengan pencabarnya yang juga penyandang jawatan itu Sabtu lalu.

Menyifatkan ia sebagai satu pertandingan keluarga, beliau tidak mahu menoleh ke belakang dengan keputusan penuh kejutan itu, sebaliknya mahu menumpukan kepada kebersamaan seluruh jawatankuasa bahagian secepat mungkin.

“Sebaik diumum menang awal pagi itu, saya akui terkejut. Tidak percaya saya sudah dipilih perwakilan.

“Dari awal saya menganggap ini pertembungan dalam keluarga dan saya terima apa saja keputusannya. Bila sudah menang, maknanya kena selesai tanggungjawab,” katanya kepada Harian Metro.

Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Sik itu berkata, sebagai muka baharu, beliau akan memberikan tumpuan kepada usaha menarik sokongan orang muda kepada parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, sudah tiba masanya Umno diberi nafas baharu dan tugas itu perlu digalas semua kepimpinan bahagian yang dipilih pada pemilihan lalu.

“Hari ini kita lihat Majlis Kerja Tertinggi Umno juga mengumumkan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung. Orang baru, semangat juga tentunya berbeza.

“Usaha seperti ini kita harapkan mampu mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Umno. Saya yakin ia satu proses yang boleh dilakukan walaupun tidak mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top