London: Nottingham Forest menerima tamparan hebat apabila pemain sayap, Callum Hudson Odoi disahkan terlepas baki musim ini akibat kecederaan otot paha.
Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian quadriceps ketika aksi suku akhir Liga Europa menentang FC Porto, minggu lalu.
Menurut kenyataan kelab, Hudson Odoi sudah menjalani pembedahan dan akan memulakan proses pemulihan bersama pasukan perubatan.
“Dia mengalami kecederaan otot paha kanan.
“Selepas mendapatkan pandangan pakar, dia menjalani pembedahan dan akan memulakan rehabilitasi serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Hudson Odoi dijangka hanya kembali menjalani latihan penuh menjelang pramusim.
Hudson Odoi menjadi antara tonggak penting Forest musim ini dengan sumbangan enam gol dan empat bantuan jaringan daripada 43 penampilan.
Ketiadaannya pasti memberi cabaran kepada Forest yang kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris dengan 36 mata.
Forest kini lima mata di atas zon penyingkiran yang dihuni Tottenham Hotspur.
Mereka bakal berdepan Sunderland sebelum aksi separuh akhir Liga Europa menentang Aston Villa pada 1 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd




