Forest lega keluar zon penyingkiran

Forest lega keluar zon penyingkiran

Stockholm: Nottingham Forest keluar daripada kelompok penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas seri tanpa jaringan menentang Fulham di laman sendiri, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Forest mengumpul 29 mata untuk naik ke tangga ke-17, mengatasi West Ham United berdasarkan perbezaan gol.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah kecewa apabila jaringan Dan Ndoye pada minit ke-63 dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Forest sebenarnya boleh menamatkan perlawanan di tangga ke-16 jika gol itu disahkan.

Pengurus Forest, Vitor Pereira bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya.

“Ini bukan perlumbaan pecut, ini maraton hingga ke penghujung musim. Kami ada peluang mendapatkan tiga mata, tetapi perlawanan seterusnya juga peluang baru,” katanya kepada Sky Sports.

Ndoye yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua hampir menjadi wira Forest selepas menyambut hantaran Neco Williams sebelum menewaskan penjaga gol Fulham, Matz Sels.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila VAR membatalkan jaringan berkenaan.

Pereira berkata, beliau membuat pertukaran pemain bagi menambah tenaga dalam serangan.

“Kami perlu menyegarkan pasukan untuk memberi lebih tenaga. Ndoye pantas dan Taiwo Awoniyi juga memberikan impak yang sangat baik.

“Itulah semangat yang saya mahu lihat daripada pemain,” katanya.

Menurut Pereira, perjuangan mengelak penyingkiran akan berterusan sehingga penghujung musim.

“Ia akan menjadi sangat sukar hingga akhir musim. Saya harap kami mampu mengutip mata untuk keluar daripada zon penyingkiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top