Format baru 'punca' PSG jadi juara

Format baru 'punca' PSG jadi juara

Munich: Paris Saint-Germain (PSG) bukan saja menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama, malah melakukannya dengan penuh bergaya apabila membenam Inter Milan 5-0 dalam aksi final di Munich, awal pagi Ahad.

Lebih mengagumkan, skuad kendalian Luis Enrique itu pernah hampir tersingkir awal musim ini dan menjadi pasukan paling banyak meraih manfaat daripada format baharu kejohanan elit Eropah itu.

Musim ini menyaksikan perubahan besar apabila UEFA memperkenalkan fasa liga membabitkan 36 pasukan, menggantikan format kumpulan. Setiap pasukan beraksi lapan perlawanan menentang lawan yang berbeza dan lapan pasukan teratas layak automatik ke pusingan 16 terbaik, manakala 16 pasukan seterusnya berentap dalam playoff untuk mengisi lapan slot terakhir.

Perubahan itu sebelum ini menerima kritikan kerana dianggap terlalu kompleks dan menambah beban kepada pemain, namun terbukti membawa lebih banyak aksi sengit hingga ke penghujung saingan.

vv”Memang betul jadual lebih padat, tapi itu tidak akan mengubah cara saya bekerja. Saya tetap percaya kepada prinsip saya. Lebih baik ada 20 pemain yang yakin mereka boleh diturunkan berbanding hanya 12 atau 13,” kata Enrique sebelum kejohanan bermula.

Selepas enam perlawanan awal, PSG hanya mengumpul tujuh mata iaitu satu pencapaian yang mungkin menyebabkan mereka tersingkir awal jika menggunakan format kumpulan lama. Mereka tewas kepada Arsenal, Bayern Munich dan Atletico Madrid.

Kemenangan ke atas Girona dan RB Salzburg serta seri menentang PSV Eindhoven memberi mereka cukup nafas untuk mara ke pusingan seterusnya. Ketika itu, Enrique menerima kritikan hebat kerana perubahan taktikal dan pilihan pemainnya, termasuk menggugurkan Ousmane Dembele atas sebab disiplin.

Namun segala eksperimen itu akhirnya membuahkan hasil apabila Dembele muncul Pemain Terbaik Kejohanan dan PSG berubah menjadi pasukan yang mantap menjelang perlawanan genting.

Kebangkitan dramatik ketika menewaskan Manchester City 4-2 selepas ketinggalan dua gol dalam aksi kedua terakhir peringkat liga menjadi titik tolak kebangkitan sebenar PSG.

Musim ini juga menyaksikan final pertama tanpa kelibat kelab dari England, Sepanyol atau Jerman sejak 2004, selain menyajikan pertemuan sulung antara PSG dan Inter Milan di pentas akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top