Usahawan sensasi, Noor Nabila mencuri perhatian warganet selepas memuat naik foto mesra bersama seorang jejaka tinggi lampai di Instagram Story, pada Rabu.
Menerusi perkongsian itu, Nabila dipercayai menghadiri majlis perkahwinan rakan yang dikenali sebagai Jiyoon dan Haidas.
Menggayakan busana labuh rona magenta gelap, ibu kepada Jebat Jayden itu dilihat tersenyum ketika dipeluk seorang lelaki berkemeja putih. Bagaimanapun, Nabila yang juga kakak kepada usahawan selebriti Neelofa menutup wajah jejaka berkenaan menggunakan sticker, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi.
Terdahulu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 sebelum berpisah secara hakam pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.
Selepas itu, Nabila pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 26 September 2023, namun pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.




