London: Pengendali Tottenham Hotspur, Thomas Frank menegaskan pemilik kelab itu kekal komited sepenuhnya terhadap projek pasukan walaupun berdepan kritikan susulan kegagalan membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan Januari ini.
Frank berkata, pemilik majoriti Spurs, ENIC yang dikendalikan keluarga Lewis, melakukan segala usaha untuk memperkuatkan skuad namun berdepan kesukaran dalam pasaran perpindahan yang mencabar.
Tottenham bakal berdepan salah satu sasaran perpindahan yang terlepas hujung minggu ini apabila Manchester City berkunjung ke London utara dengan penyerang Ghana, Antoine Semenyo dalam senarai pemain.
Frank mendedahkan bekas bintang Bournemouth itu adalah antara sasaran utama Spurs sebelum memilih menyertai City dengan nilai perpindahan £65 juta (RM389 juta) bulan ini.
Dengan jendela perpindahan bakal ditutup Isnin ini, Tottenham hanya membawa masuk seorang pemain utama iaitu tonggak tengah England, Conor Gallagher dari Atletico Madrid, manakala penjaring terbanyak musim lalu, Brennan Johnson pula dijual kepada Crystal Palace.
Situasi Spurs semakin sukar apabila mereka kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris serta kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan jangka panjang termasuk James Maddison, Mohammed Kudus, Richarlison, Rodrigo Bentancur, Ben Davies dan Lucas Bergvall.
Bagaimanapun, Frank menolak dakwaan bahawa pemilik kelab tidak cukup komited terhadap Tottenham.
“Saya boleh beri jaminan bahawa keluarga Lewis sangat komited dengan projek ini. Mereka mahu melakukan segala yang terbaik dan kelab benar-benar berusaha untuk mendapatkan Semenyo.
“Itu isyarat jelas bahawa keluarga Lewis sangat komited,” katanya.
Frank turut mengulas rancangan kumpulan penyokong ‘Change for Tottenham’ yang dijadual mengadakan protes terhadap pemilik kelab sebelum dan semasa perlawanan menentang City.
Menurutnya, penyokong perlu memahami realiti sebenar pasaran perpindahan yang tidak semudah permainan video.
“Semua orang mahukan yang terbaik untuk kelab ini. Tetapi jendela perpindahan bukan seperti ‘Football Manager’. Ia sangat sukar dan memerlukan seni serta kemahiran,” katanya.
Walaupun berada di bawah tekanan hebat pada musim pertamanya bersama Spurs selepas berhijrah dari Brentford, Frank berjaya membawa kelab itu mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




