London: Tyson Fury mendakwa Anthony Joshua cuba menarik diri daripada pertarungan heavyweight Britain yang amat dinanti-nantikan antara mereka, sebaliknya mencabar Oleksandr Usyk untuk perlawanan trilogi.
Fury dan Joshua sudah lama mengadakan rundingan bagi merealisasikan pertarungan dinanti-nantikan itu, namun juara yang dikenali sebagai Gypsy King semakin tidak sabar kerana masih belum ada pengesahan, malah minggu lalu menggelar pencabarnya sebagai “pengecut.
Kedua-dua bekas juara dunia heavyweight itu dijangka bertemu pada November, namun lokasi pertarungan masih belum diputuskan.
Dalam video penuh kata-kata kesat yang dimuat naik di Instagram, Fury, 38, mendakwa Joshua menarik diri daripada pertarungan itu.
“Ini hanya akan membawa saya kepada pertarungan dengan Oleksandr Usyk,” katanya.
“Oleksandr, kamu adalah jurulatihnya (Joshua) dan senseinya, dan kamu tahu dia lemah dari segi mental serta dia tidak akan pernah melawan Gypsy King, sedangkan kamu cukup berani untuk melakukannya dua kali.
“Kamu menang menerusi keputusan juri kali terakhir, syabas kepada kamu. Semoga berjaya dan mari kita lakukannya sekali lagi. Kita ulanginya pada November.
“Adakah kamu mahu melawan saya tahun ini, 2026, atau kamu mahu mengundur diri? Beritahu saya kerana saya kini sedang mencari lawan baharu.”
Fury sudah dua kali tewas kepada Usyk, yang juga juara heavyweight dunia tidak dipertikaikan sebanyak dua kali.
Joshua kini berlatih bersama pasukan latihan dari Ukraine yang pernah membimbing Usyk.
Madison Square Garden di New York sebelum ini dijangka diumumkan sebagai lokasi pertarungan Fury-Joshua, walaupun kem Joshua lebih mengutamakan Stadium Wembley.
Sela, syarikat promosi milik kerajaan Arab Saudi yang membiayai pertarungan itu dan penyiar Netflix dipercayai lebih cenderung menganjurkan pertarungan berkenaan di Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
