FWCMS: Industri kitar semula tempatan raih manfaat besar – MRA

FWCMS: Industri kitar semula tempatan raih manfaat besar – MRA
FWCMS: Industri kitar semula tempatan raih manfaat besar – MRA

Joe Saravanan (gambar kecil) berkata, FWCMS memainkan peranan penting dalam menyokong operasi industri yang bergantung kepada tenaga kerja asing dalam skala besar. Foto fail Bernama

INDUSTRI kitar semula tempatan terus menikmati pelbagai manfaat sejak pelaksanaan Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS), menurut Malaysia Recyclers Association (MRA).

Presidennya, Datuk Joe Saravanan berkata, sistem berkenaan memainkan peranan penting dalam menyokong operasi industri yang bergantung kepada tenaga kerja asing dalam skala besar.

Menurutnya, sebagai sektor yang menggaji ribuan pekerja asing, kewujudan FWCMS telah membantu syarikat mengurus tenaga kerja dengan lebih tersusun dan efisien.

“FWCMS telah beroperasi merentasi lima pentadbiran kerajaan yang berbeza, sekali gus membuktikan kekuatan sistem ini serta ketegasan pelaksanaan dan pemantauannya tanpa mengira perubahan politik.

“Ini menunjukkan sistem itu sendiri bukan masalah, sebaliknya telah membawa manfaat kepada pelbagai pihak, khususnya majikan.

“Isu sebenar adalah pihak yang terus mempolitikkan FWCMS walaupun tidak menyumbang kepada industri ini,” katanya dalam kenyataan.

FWCMS merupakan sistem berpusat yang digunakan untuk menyelaras pengambilan pekerja asing ke Malaysia, termasuk mengurus permohonan, kelulusan serta dokumentasi majikan secara lebih telus dan tersusun.

Sistem yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd itu turut membantu menutup ruang penyelewengan dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam proses pengambilan pekerja.

Sebelum ini, Bestinet memaklumkan FWCMS berjaya mengekang aktiviti kartel serta menutup ruang eksploitasi dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, industri kitar semula turut meraih manfaat secara langsung melalui penambahbaikan dari segi tempoh pemprosesan, ketelusan serta kebolehpercayaan sistem tersebut.

Menurutnya, aspek itu amat penting terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan sistem lebih berstruktur dan bertanggungjawab bagi memastikan kelangsungan operasi.

“Bagi banyak majikan, khususnya PKS, keupayaan beroperasi dalam sistem yang lebih telus dan teratur adalah faktor kritikal untuk memastikan perniagaan terus berjalan lancar,” katanya.

Beliau menegaskan sokongan terhadap FWCMS adalah selari dengan keperluan industri untuk mengekalkan daya saing serta memastikan pengurusan tenaga kerja asing yang lebih mampan dan berintegriti.

Scroll to Top