Seoul: Bintang K-pop terkenal, G-Dragon, 37, dilantik secara rasmi sebagai duta kehormat bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadualkan berlangsung di Gyeongju, Oktober ini.
G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-yong turut berkongsi berita itu menerusi media sosialnya. Dia mengakui sangat berbesar-hati dengan pencapaian itu.
“Saya dilantik sebagai duta kepada APEC Summit 2025. Satu penghormatan dapat jadi sebahagian daripada APEX Korea. Terima kasih Wicem,” katanya.
Pelantikan berprestij itu diumumkan sendiri Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok, hari ini menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.
Selaku ketua jawatankuasa persiapan sidang kemuncak berkenaan, dia menzahirkan rasa teruja dengan pelantikan ikon muzik itu untuk mempromosikan acara antarabangsa berkenaan.
Dia menyifatkan G-Dragon sebagai artis terkemuka Korea Selatan yang unik, sentiasa menunjukkan kreativiti dan inovasi yang luar biasa sepanjang kariernya. Semangat inovatifnya selari dengan matlamat APEC.
“Menjelang 100 hari sebelum sidang kemuncak ini berlangsung, marilah kita saksikan sinergi antara G-Dragon dan Sidang Kemuncak APEC,” tulisnya.
Sidang kemuncak APEC adalah acara tahunan menghimpunkan pemimpin dari 21 negara anggota ekonomi di rantau Asia-Pasifik untuk membincangkan isu-isu ekonomi dan kerjasama serantau.
Tahun ini, acara penting itu akan dihoskan oleh bandar bersejarah Gyeongju pada 31 Oktober.
Pelantikan G-Dragon dilihat sebagai satu langkah strategik memanfaatkan pengaruh budaya pop Korea Selatan di peringkat global bagi meningkatkan kesedaran dan minat orang ramai, terutamanya golongan muda, terhadap kepentingan Sidang Kemuncak APEC.
© New Straits Times Press (M) Bhd