G7 akhiri mesyuarat dengan mengkritik China, Russia dan Iran

G7 akhiri mesyuarat dengan mengkritik China, Russia dan Iran

LONDON: Kumpulan Tujuh (G7) mengakhiri mesyuarat secara bersemuka dalam tempoh dua tahun dengan menuduh China melanggar hak asasi manusia dan tindakan keras republik itu ke atas tokoh individu yang prodemokrasi.

Mesyuarat dihadiri Menteri Luar Britain sebagai tuan rumah, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jerman, Itali, Kanada dan Jepun itu turut menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan Russia ke atas Ukraine.

Malah, mereka menggesa Tehran supaya membebaskan tahanan warga asing yang individu yang memiliki dua kerakyatan yang ditahan di penjara Iran.

Mereka turut memberi amaran sekatan terbaharu kepada junta Myanmar yang melakukan rampasan kuasa sejak Februari lalu, selain menyentuh isu berkaitan geopolitik termasuk perubahan iklim dan pemulihan pasca pandemik.

Semua Menteri Luar yang mengadakan pertemuan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat juga komited menyokong secara kewangan terhadap program perkongsian vaksin, COVAX.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai peruntukan baharu bagi menambah baik akses kepada vaksin, biarpun wujud desakan supaya G7 membantu negara miskin yang lain.

Mesyuarat terbabit menjadi penanda aras kepada pertemuan pemimpin G7 yang bakal berlangsung di Cornwall bulan depan, yang mana akan menjadi kemunculan antarabangsa pertama Presiden AS, Joe Biden.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, pemimpin terbabit mengiktiraf mesyuarat itu yang berjalan dalam keadaan luar biasa.

“Kami komited untuk bekerjasama, dengan rakan negara dalam lingkungan sistem multilateral, untuk membentuk masa depan yang lebih bersih, bebas, adil dan lebih selamat bagi planet ini.

“Kami bertekad untuk terus berusaha menangani masalah dan mencari penyelesaian bersama selain bekerjasama membabitkan banyak perkara lain,” menurut kenyataan itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top