Gabriel-Syafiq menang pingat perak papan anjal seirama

Aksi atlet terjun negara Gabriel Gilbert Daim (kanan) bersama Muhammad Syafiq Puteh berjaya memenangi pingat Perak dalam acara Men’s Synchronised 3m Springboard Akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Sandwell Aquatics Center pada Jumaat. – Foto Bernama

PADA ketika Datuk Pandelela Rinong gagal menaiki podium semalam (Khamis), pasangan penerjun negara Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh berjaya memenangi pingat Malaysia pertama dari acara terjun di Sukan Komanwel Birmingham 2022, pada Jumaat.

Gabriel-Muhammad Syafiq mengumpulkan 376.77 mata selepas enam terjunan untuk membawa pulang pingat perak pada akhir acara lelaki 3 meter (m) papan anjal seirama yang berlangsung di Pusat Akuatik Sandwell, di sini.

Wakil tuan rumah Anthony Harding-Jack David Laugher berada dalam kelas tersendiri selepas mengumpulkan 438.33 mata untuk menang emas, manakala pasangan Australia Samuel Fricker-Shixin Li, menang gangsa (374.52 mata).

Sementara itu, dua lagi penerjun negara Ong Ker Ying dan Kimberly Bong, masing-masing menduduki tempat ke-10 dan ke-12 pada pusingan awal acara wanita 1m papan anjal.

Ker Ying mengumpul 207.50 mata, sementara Kimberly Bong (204.75 mata) pada hari kedua acara terjun di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua penerjun berpeluang untuk memperbaiki prestasi mereka pada Jumaat, apabila beraksi dalam peringkat akhir yang akan berlangsung pada 6.05 petang waktu tempatan (1.05 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Pada Khamis, Pandelela yang memulakan cabaran skuad terjun negara gagal menyerlah dan hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun pada akhir acara wanita 10m platform individu. – Bernama.