Kolaborasi unik antara komik popular Under 18 dan filem aksi komedi Klepet berjaya mencuri perhatian pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pelancaran edisi terhad ‘Exclusive Box’ Under 18 x Klepet bukan sahaja menarik minat ramai penggemar, malah ia mencetus fenomena baharu dalam industri kreatif tempatan.
Diterbitkan oleh Kadokawa Gempak Starz dengan kerjasama Respected Citizen, kolaborasi ini menggabungkan dunia komik dan filem dalam satu naskhah unik dan ia membawa pembaca dan penonton ke satu pengalaman naratif rentas medium yang jarang ditampilkan sebelum ini.
Menurut Aeril Zafrel selaku penerbit filem mewakili Respected Citizen, kolaborasi ini menjadi tarikan untuk filem Klepet yang dijangka tayang pada tahun ini.
“Komik Under 18 x Klepet membawakan naratif eksklusif yang menjadi prekuel kepada filem, sekali gus mengembangkan semesta cerita Under 18 ke arah yang lebih dewasa dan dramatik. Kehadiran watak-watak kegemaran seperti Fox dan Jimi dalam kisah yang penuh aksi menjadikan ia lebih menarik.
“Kolaborasi ini membuktikan bahawa sinergi antara dua cabang seni antara komik dan filem serta ia mampu memperluaskan capaian kepada khalayak pelbagai lapisan usia,” katanya.
Aeril ditemui di majlis pelancaran kolaborasi Under 18 x Klepet di PBAKL, pada Ahad.
Selain Aeril, majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew, pelukis komik Under 18, Zint Lu, pengarah filem Klepet, Indra Putra dan dua pelakon naskhah terbabit, Nadhir Nasar dan Aedy Ashraf.
Tapak pelancaran menjadi tumpuan utama pengunjung apabila peminat mendapatkan set edisi terhad yang mengandungi komik eksklusif, hoodie, pelekat koleksi dan lanyard khas.
Berharga RM120, set ini dijual pada harga promosi RM99 sempena pelancaran di PBAKL dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sepanjang acara berlangsung.
Turut mencuri tumpuan ialah penampilan khas para pelakon Klepet seperti Aedy Ashraf dan Nadhir Nasar yang disambut meriah oleh peminat.
Mereka turut berkongsi pengalaman menjayakan filem tersebut, sekaligus meningkatkan keterujaan terhadap tayangan rasmi Klepet yang dijangka menemui penonton tidak lama lagi.