syafil.syazwan@hmetro.com.my
Cyberjaya: Persembahan penuh emosi tercipta apabila nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diiringi gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), malam tadi.
Acara yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyaksikan lebih 3,000 penonton terpukau dengan gabungan suara lunak Siti menerusi lagu Gubahanku diiringi Hasmah, yang juga Canselor Pertama MMU.
“Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan Tun Hasmah, sepentas dan menyanyi dengan iringan biola yang saya hadiahkan kepada beliau beberapa tahun lalu.
“Sebenarnya sewaktu latihan sebelah siang, saya sebak dan sukar menyempurnakan nyanyian, namun saya kuatkan hati agar malam ini saya dapat menyanyi dengan baik,” katanya.
Kali kedua bergandingan bersama membuat persembahan, Siti meluahkan rasa terharu apabila dimaklumkan mengenai usaha Hasmah yang giat berlatih.
“Saya ada berkongsi ‘minus one’ lagu Gubahanku bersama pihak OTM dan Hasmah sendiri dengan nada suara saya.
“Saya sendiri terharu apabila Hasmah bercerita beliau berlatih dan Alhamdulillah persembahan beliau malam ini sangat mengagumkan,” katanya.
Siti mengakui, peluang beraksi di pentas bersama OTM adalah kenangan yang cukup istimewa dalam karier seninya.
“Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bukan sesuatu yang asing buat saya kerana sejak awal pembabitan, saya memang terbiasa dengan lagu-lagu berirama tradisional. Beberapa kali juga konsert saya diiringi oleh mereka.
“Apa yang membanggakan, semua alat muzik yang dimainkan adalah warisan daripada seluruh negeri di Malaysia.
“Semangat ketika menyampaikan lagu tradisional ini memang luar biasa kerana iramanya ada kekuatan tersendiri,” katanya.
Selain Gubahanku, Siti turut mempersembahkan lagu solo, Badarsila dan Kurik Kundi diiringi OTM.
Sementara itu, Hasmah meluahkan rasa terharu kerana berpeluang membuat persembahan bersama Siti.
“Sebenarnya Siti yang meminta saya membuat persembahan malam ini, malah dia sendiri mengajar saya memainkan lagu Gubahanku. Ia satu pengalaman yang cukup bermakna buat saya,” katanya.
Persembahan kemuncak itu turut diserikan dengan penampilan penyanyi,Bob Yusof yang mempersembahkan beberapa lagu tradisional bersama OTM.
Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, alunan muzik dan seni bela diri gabungan OTM serta bakat-bakat dari MMU.
© New Straits Times Press (M) Bhd