Gadis dengan tulisan tangan tercantik di dunia

Gadis dengan tulisan tangan tercantik di dunia

Kathmandu: Dalam dunia didominasi oleh telefon pintar dan papan kekunci, seorang wanita Nepal membuat dunia ‘tersenyum’ dengan sesuatu yang semudah tulisan tangannya.

Prakriti Malla, 22, berbuat demikian menerusi tulisan tangannya yang dianggap sebagai tercantik di dunia, lapor DNA India.

Menurut portal berkenaan, dia pertama kali menarik perhatian dengan tulisan tangannya pada 2017, ketika dia hanya berusia 14 tahun. Sekeping gambar tugasan sekolah yang ditulisnya dengan jarak huruf sempurna dan simetri, tular di internet.

Ramai menyangka tulisan itu adalah cetakan komputer, namun ia sebenarnya tulisan tangan.

Menurut Prakriti, menulis dengan pen di atas kertas masih satu bentuk ekspresi.

Bakat Prakriti bukan sahaja menarik perhatian di media sosial, malah turut diberi penghormatan oleh angkatan tentera Nepal kerana tulisan tangannya yang luar biasa.

Hasil kerjanya bukan sahaja indah, tetapi juga penuh dengan disiplin, keanggunan, dan kebanggaan terhadap budaya.

Salah satu momen paling manis ialah ketika dia menulis surat kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengucapkan selamat menyambut sambutan hari kebangsaan ke-51 untuk negara itu.

Dalam pada itu, Prakriti menggalakkan semua orang di seluruh dunia untuk mengambil pen, menulis perlahan-lahan dan menulis dengan keikhlasan.

Menurutnya, kadangkala perkara paling mudah seperti tulisan tangan yang indah boleh memberi impak paling besar dalam kehidupan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top