Gaduh dengan isteri punca lelaki mengamuk di Terminal KLIA

Gaduh dengan isteri punca lelaki mengamuk di Terminal KLIA

Putrajaya: Berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak menjadi punca seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun mengamuk dan merosakkan kemudahan awam di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Suspek turut mencederakan anggota keselamatan KLIA) sebelum ditahan dan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, tangkapan dibuat anggota Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA kira-kira jam10.30 pagi di lokasi kejadian, ketika individu itu sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek terlepas penerbangan dan berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Semasa kejadian, suspek telah bertindak secara agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah, membaling botol minuman ke arah kaunter dan mencederakan anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian,” katanya tadi.

Beliau berkata suspek sudah mengaku bersalah di Mahkamah Sepang pada 7 April dan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, suspek turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak keselamatan yang bertugas dan tidak mengambil tindakan yang boleh menyebabkan berlaku kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di kedua-dua terminal KLIA.

Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter T2 KLIA, selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.

Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki warga asing kelihatan sedang menolak beberapa anggota keselamatan hingga menyebabkan salah seorang petugas terjatuh ke lantai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top