Gaduh ketika perlawanan bola sepak, 4 dikenakan bon berkelakuan baik

Gaduh ketika perlawanan bola sepak, 4 dikenakan bon berkelakuan baik

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Empat pemain bola sepak dikenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bergaduh di tempat awam ketika perlawanan bola sepak, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Harith Nazreen Shah Abd Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R Tharmaraj, 28; dan E Paranitharan, 29; selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat OKS itu bersama seorang yang masih bebas didapati melakukan gaduh gempar yang mengganggu ketenteraman awam di Padang Speedy, di sini yang mana ianya merupakan tempat awam, yang mana perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 5.15 petang hingga 6 petang 7 Ogos lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala Harith Nazreen Shah dan Muhammad Danial diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan; sementara Tharmaraj dan Paranitharan diwakili peguam, Charan Singh dan S. Morgan.

Pihak pembelaan memohon hukuman ringan berbentuk denda, antaranya mengambil kira salah seorang OKS iaitu Harith Nazreen Shah sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Saravanan berkata, pengakuan bersalah kedua-dua OKS menjimatkan masa mahkamah, selain mahu mahkamah mengambil kira bahawa OKS yang berselisih dalam insiden pergaduhan itu sudah menjadi kawan.

Keempat-empat OKS itu kemudiannya dilihat saling bersalaman tanda bermaafan di hadapan Majistret, disusuli pernyataan Charan bahawa pergaduhan itu tercetus melalui sedikit perselisihan faham yang masih terkawal.

“Mereka berjabat tangan meminta maaf satu sama lain dan mohon mahkamah berikan satu peluang pada mereka, memandangkan ini adalah kes saman, bukan jenayah.

“Mereka berjabat tangan (bersalaman) justeru menjadi teladan yang baik, di samping mohon mahkamah ambil kira bahawa ini juga adalah kesalahan pertama bagi semua OKS,” katanya.

Nur Darwis bagaimanapun meminta hukuman setimpal ke atas OKS, mengambil kira video kejadian pergaduhan itu yang tular di media sosial, justeru hukuman setimpal dapat memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan pergaduhan semasa bermain bola sepak.

Mahkamah menetapkan empat OKS itu menyempurnakan bon menjaga keamanan dalam tempoh enam bulan mengikut Seksyen 66 Kanun Prosedur Jenayah dengan seorang penjamin membabitkan cagaran RM500.

Sementara itu di kamar mahkamah sama, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, dijatuhi hukuman denda RM600 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas seorang pengadil perlawanan bola sepak yang sama.

Muhamad Kuzairin mengaku bersalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Muhammad Syaffiq Syazwan Baharom, 23, pada 5.15 petang di lokasi, dan tarikh yang sama sebagaimana pertuduhan ke atas empat OKS sebelumnya.

Sebelum ini, media melaporkan 12 suspek lelaki ditahan berkaitan kes merusuh sewaktu perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini yang video mengenai insiden rusuhan berbentuk pergaduhan itu turut tular di laman sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top