Gagal bayar hutang, dia pula jadi orang suruhan along

Gagal bayar hutang, dia pula jadi orang suruhan along

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebelum ini jadi peminjam wang namun selepas gagal bayar dia pula jadi orang suruhan ceti haram atau along dari negara jiran untuk lakukan ugutan dan khianat.

Itu modus operandi dikesan selepas penahanan seorang lelaki berusia 30-an oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam operasi khas di sekitar daerah Sentul, Kuala Lumpur pada 29 November lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek yang kini ditahan reman hingga 3 Disember ini mempunyai 11 rekod jenayah termasuk 9 membabitkan dadah.

“Suspek menerima upah daripada sindiket along negara jiran untuk melakukan jenayah ugut dan khianat menggunakan api serta simbahan cat merah ke atas harta benda milik penghutang atau keluarga.

“Hasil siasatan mendedahkan suspek terbabit dalam 13 kes membabitkan kerugian RM500,000 hingga RM700,000.

“Sebelum ini, suspek menjadi peminjam namun apabila tidak dapat bayar balik, along menawarkan jadi ejen dalam melakukan kegiatan ini,” katanya dalam sidang media sempena kejayaan Ops Cantas Khas Kontinjen Perak di Bilik Media IPK Perak, di sini petang tadi.

Turut dirampas bersama suspek adalah barangan yang digunakannya dalam melakukan aktiviti jenayah khianat antaranya kereta Proton Wira, nota ugutan, telefon bimbit, tong petrol serta cat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau lagi, suspek yang positif dadah methamphetamine turut terbabit dalam kes khianat di Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka, dan Pahang.

© New Straits Times Press (M) Bhd