Gagal isytihar harta: Anak Tun Daim mengaku tidak bersalah

Gagal isytihar harta: Anak Tun Daim mengaku tidak bersalah

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis perisytiharan harta membabitkan pegangan saham di lima syarikat, tiga tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat Asnida Abdul Daim, 65, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis berkenaan dihantar pegawai SPRM pada 14 November 2023, kerana tidak mengisytiharkan harta iaitu pegangan saham dalam lima syarikat.

Lima syarikat terbabit adalah Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini, pada 13 Disember 2023.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat manakala Asnida diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top