Gagal pujuk cinta lama, wanita diculik bekas kekasih

Gagal pujuk cinta lama, wanita diculik bekas kekasih

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bekas kekasih yang kecewa sanggup menculiknya sambil mengacukan pedang samurai dan pisau lapah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa berusia 35 tahun sedang berada berhampiran Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah, di sini, sebelum didatangi suspek berusia 38 tahun yang menaiki kereta Proton Saga bersama seorang rakan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek keluar dari pintu penumpang belakang lalu menghampiri mangsa sambil mengacukan pisau berukuran kira-kira 25 sentimeter serta mengarahkannya masuk ke dalam kereta.

Katanya, disebabkan mangsa enggan menurut, suspek kemudian menarik dan mengacukan pisau di lehernya sebelum mengangkat serta menyumbatnya ke dalam kereta melalui pintu penumpang belakang.

“Ketika di dalam kereta suspek didakwa memijak dada serta menumbuk kepala wanita itu bertubi-tubi kerana berusaha untuk melepaskan diri sebelum berhenti di kawasan rehat dan rawat yang tidak dapat dipastikan.

“Mangsa kemudian dipaksa berpindah ke kereta lain jenis Proton Wira warna merah, sambil diacukan pisau sebelum kereta rakan suspek beredar.

“Suspek dikatakan memberitahu mangsa akan dibawa ke satu tempat sebelum memandu kereta itu sambil mengacukan pedang samurai ke dada mangsa serta memberi amaran supaya tidak melawan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dzulkhairi berkata, mangsa yang ketakutan memberi alasan haus sebelum suspek berhenti di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelemak, di sini, untuk membeli air.

Katanya, mangsa yang ditinggalkan seorang diri dalam kereta berkunci kemudian menghantar mesej WhatsApp kepada suaminya dan berkongsi lokasi sebenar untuk memohon bantuan.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah kampung di Alor Gajah dan tidak berapa lama dua adik mangsa tiba sebelum berlaku pergelutan antara mereka dengan suspek.

“Dalam keadaan cemas itu, mangsa bertindak keluar dari kereta sebelum melempar pasu bunga ke arah suspek hingga terkena muka dan rebah.

“Sepasukan polis dan ambulans tiba di tempat kejadian dan membawa mangsa dan suspek ke Hospital Alor Gajah,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedera akibat ditikam serta menerima empat jahitan dan dirujuk di Hospital Melaka.

Katanya, suspek turut ditahan dan semakan mendapati dia memiliki dua rekod jenayah dan lapan rekod narkotik.

“Setakat ini motif kejadian disyaki kerana mangsa enggan layan suspek yang pernah memujuknya kembali bersama beberapa kali sebelum ini disebabkan mengetahui suspek sudah ada isteri dan anak-anak,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 363/326 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top