am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan gagal mengadakan hadangan sehingga mengakibatkan kemalangan maut kepada pekerjanya.
Syarikat itu juga didakwa gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan di tapak kerja, Januari lalu.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM50,000 dan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua selepas syarikat terbabit mengaku bersalah bagi pertuduhan dihadapinya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal mengadakan hadangan yang sesuai dan secukupnya bagi mencegah risiko orang daripada jatuh pada bukaan lantai kerja sehingga mengakibatkan kemalangan maut kepada pekerjanya, 19 Januari lalu.
Syarikat itu didakwa mengikut Peraturan 19(3) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, syarikat terbabit didakwa gagal melantik seorang yang kompeten untuk bertindak sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi kerja pembinaan yang jumlah harga kontrak projek melebihi RM20 juta.
Syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 29(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Amiruddin Mohd Tajudin, manakala syarikat itu tidak diwakili peguam.
Pada masa sama, JKKP Johor menerusi satu kenyataan media berharap kes terbabit menjadi suatu pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya pematuhan kepada undang-undang sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



