Gagal urus tinja ayam, ladang di Batang Kali kena kompaun

Gagal urus tinja ayam, ladang di Batang Kali kena kompaun

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebuah ladang ternakan ayam di Batang Kali, Hulu Selangor diarah tutup serta-merta kelmarin selepas gagal dari sudut pengurusan tinja yang tidak sempurna.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam satu kenyataan berkata, Unit Kawalan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) melakukan tindakan penutupan selama dua minggu sehingga 21 April ini susulan aduan penduduk.

“Mereka memaklumkan berlaku kacau ganggu lalat di sekitar kawasan perumahan. Oleh itu, tindakan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 43, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian,” katanya, di sini.

MPHS berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan pematuhan peraturan serta menjaga kebersihan dan kesejahteraan persekitaran setempat.

“Sepanjang tempoh penutupan, pihak syarikat tidak dibenarkan memasukkan ayam baharu ke dalam reban sehingga keadaan tapak dinilai memuaskan oleh pihak jabatan.

“Selain itu, syarikat diminta menyediakan pelan kawalan lalat dan pengurusan tinja ayam untuk dikemukakan bagi tujuan penilaian,” katanya.

Menurutnya, bagi langkah jangka panjang pihak syarikat dicadang mempertimbangkan lokasi baharu bagi operasi reban ayam.

“Kami ingin menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara bertanggungjawab, mematuhi undang-undang, dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam usaha menjaga kebersihan dan keharmonian kawasan bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top