New Delhi: Gajah betina paling tua di Asia, Vatsala, yang menjadi simbol kasih sayang dan daya tahan alam, mati pada usia lebih 100 tahun di Hutan Simpan Harimau Panna, Madhya Pradesh, pada Selasa lalu.
Vatsala bukan sekadar penghuni biasa di kawasan perlindungan itu malah menjadi tarikan utama pelancong selama beberapa dekad dan ketua kumpulan gajah di kem Hinauta.
Menurut pegawai hutan, gajah itu pada asalnya dibawa dari Kerala ke Narmadapuram, sebelum ditempatkan di Hutan Simpan Panna di tengah India.
“Vatsala dianggap sebagai gajah tertua di Asia. upacara pengebumiannya diadakan pegawai dan kakitangan hutan sebagai penghormatan terakhir,” kata satu kenyataan rasmi.
Sepanjang hayatnya, Vatsala sering dilihat membimbing anak-anak gajah lain dan berperanan seperti seorang ‘nenek’ dalam kawanan.
Malah, ketika gajah betina lain melahirkan anak, Vatsala sentiasa berada di sisi.
Namun, usia lanjut menjadikan pergerakan Vatsala semakin terbatas termasuk hilang penglihatan dan mengalami kecederaan pada kuku kaki depan.
Pada 8 Julai lalu, dia dilaporkan rebah di kawasan Khairaiyaan dan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengangkatnya, Vatsala mati pada sebelah petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd